PUTRAJAYA: Cadangan berhubung pelaksanaan Akta Saraan Hakim Syarie kini berada di peringkat akhir kajian oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bersama pihak-pihak berkaitan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, kajian itu perlu melalui beberapa sesi libat urus selain perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk implikasi kewangan.
“(Kajian) itu berada di peringkat akhir yang dijalankan oleh JKSM dan pihak-pihak berkaitan. Kita juga ada sesi libat urus kerana ia memerlukan kajian yang mendalam berikutan melibatkan implikasi kewangan dan sebagainya. Kita doakan supaya ia dapat disegerakan.
“Secara umumnya, dokumen itu sudah disediakan cuma kita perlu perkemaskan lagi kerana ia perlu mendapat ulasan-ulasan (berkaitan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia (PePSSM) Kali Ke-2 Tahun 2026 di sini hari ini.
Dalam perasmian Konvensyen Memartabatkan Perundangan Syariah Di Malaysia pada Julai 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi komitmen untuk menyegerakan cadangan pelaksanaan Akta Saraan Hakim Syarie bagi memartabatkan status hakim mahkamah syariah agar setaraf dengan kehakiman mahkamah sivil.
Anwar berkata, perkara tersebut sedang mendapat perhatian kerajaan kerana terdapat keperluan bagi mengimbangi antara Skim Perkhidmatan Kehakiman Syariah dan Skim Perkhidmatan Kehakiman Sivil.
Sementara itu, ketika ditanya berhubung perkembangan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Syariah, Zulkifli memaklumkan bahawa perkara tersebut akan diteliti secara serentak dengan kajian Akta Saraan Hakim Syarie.
“(Perkembangan itu) bersama dengan kajian akta saraan kehakiman,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata, perincian mengenai cadangan penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia (JPSM) kini berada di peringkat dasar dan sedang diperkemas sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Menurut beliau, dokumen berhubung cadangan itu kini berada pada tahap akhir selain perlu mendapatkan ulasan-ulasan daripada pihak terlibat sebelum dibentangkan.
“Buat masa ini, cadangan tersebut masih lagi sedang diperkemas di peringkat dasar agar setiap aspek perundangan, pentadbiran, tadbir urus dan hubungan Persekutuan-Negeri dapat diperhalusi secara menyeluruh.
“Ia sekali gus memastikan pelaksanaannya kelak benar-benar tersusun, berkesan dan mampu memperkukuh keseluruhan ekosistem keadilan syariah negara,” katanya.
Beliau berkata, penubuhan JPSM di peringkat Persekutuan merupakan usaha strategik bagi memperkukuh penyelarasan selain meningkatkan profesionalisme dan membangunkan kompetensi Pendakwa Syarie di seluruh negara.
“Kesemua perkembangan ini membuktikan bahawa pemerkasaan kehakiman Syariah bukan lagi sekadar suatu cita-cita, bahkan telah
menjadi agenda nasional yang dilaksanakan secara tersusun dan berterusan.
“Ini lah iltizam kerajaan untuk memastikan institusi kehakiman Syariah terus dihormati, diyakini dan mampu memenuhi tuntutan masyarakat serta cabaran zaman,” katanya.-UTUSAN










