Lans koperal tidak mengaku ambil dadah di pusat karaoke - Utusan Malaysia

Lans koperal tidak mengaku ambil dadah di pusat karaoke

MOHAMMAD Aizat Zamli (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan pada April lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang anggota polis berpangkat lans koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan di sebuah pusat karaoke pada April lalu.

Tertuduh, Mohammad Aizat Zamli, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S. Punitha.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang itu didakwa memasukkan dadah jenis ketamin dan MDMA ke dalam badan di bilik vip 1, Aras 2, Grand OC Sdn. Bhd., Wisma Wolley, Jalan Canning Estate, Taman Ipoh pada pukul 5.04 pagi, 5 April 2026.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.

Kes turut dibaca bersama Seksyen 38B(1) akta sama yang memperuntukkan tertuduh boleh diletakkan di bawah pengawasan bagi tempoh antara dua hingga tiga tahun selepas menjalani hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira manakala tertuduh yang bertugas di Balai Polis Segamat, Johor itu diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Nadzrah Badarudin.

Terdahulu, Muhammad Zulqarnain mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 terhadap tertuduh namun, Nur Nadzrah memohon jumlah jaminan minimum dengan alasan lelaki itu menanggung bapanya yang telah berusia dan hanya berpendapatan RM3,000 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN