Network School: JIM periksa 266 warga asing dari 40 negara

Network School: Imigresen periksa 266 warga asing dari 40 negara

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen telah melaksanakan pemeriksaan terhadap 266 warga asing dari 40 negara di Forest City, Johor susulan isu operasi Network School yang dibangkitkan kerajaan negeri, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pemeriksaan dijalankan bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Hasil semakan awal mendapati semua individu yang diperiksa memiliki dokumen imigresen yang sah berdasarkan rekod semasa.

“Semakan dan siasatan lanjut sedang diteruskan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap syarat kemasukan serta peruntukan Akta Imigresen 1959 dan undang-undang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kontroversi itu tercetus selepas beberapa pengguna media sosial mempersoalkan keberadaan Network School di Forest City dengan mendakwa projek itu menarik penyertaan usahawan asing termasuk warga Israel yang memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua.

Susulan itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh.

KDN memaklumkan, semakan dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan menegaskan aspek keselamatan negara serta pematuhan undang-undang tidak dikompromi, selain meminta orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Zakaria berkata, setiap kemasukan warga asing ke Malaysia tertakluk kepada peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.

Katanya, pemeriksaan di pintu masuk negara dilaksanakan berdasarkan dokumen perjalanan dikemukakan, semakan terhadap pangkalan data berkaitan serta rekod penguatkuasaan yang tersedia ketika pemeriksaan dijalankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN