SEPANG:“Sembilan tahun lepas, mereka cuba tunjuk kononnya baik, tapi kali ini memang kasar dan tiada belas kasihan.”
Itu pengalaman Dr. Fauziah Mohd. Hassan, salah seorang aktivis Misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Miles to Gaza (TMTG), selepas selamat tiba di tanah air hari ini. Beliau menyifatkan layanan tentera Israel kali ini jauh lebih keras berbanding pengalaman pertamanya sembilan tahun lalu.
Menurut Dr. Fauziah, ketika misi flotilla pada 2016, tentera Israel masih berusaha menonjolkan imej ‘baik’ dengan tidak menggunakan kekerasan keterlaluan ketika menahan aktivis antarabangsa.
“Waktu itu mereka mahu tunjuk kepada dunia yang mereka ini kononnya baik. Mereka datang tanpa senapang terbuka, tak pakai topeng dan masih berbicara dengan nada terkawal,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Dr. Fauziah berkata, fokus utama mereka bukanlah kepada layanan yang diterima, sebaliknya terhadap nasib rakyat Gaza yang tidak tahu bila akan bebas sekiranya ditangkap oleh rejim Israel.
“Orang Gaza kalau ditangkap, mereka tak tahu bila akan keluar. Tapi kami tahu, insya-Allah dengan tekanan kerajaan dan undang-undang Israel sendiri, mereka tak boleh tahan kami lebih 72 jam,” katanya.
Justeru, katanya, walaupun dilayan kasar, mereka tetap bertahan kerana sedar penahanan itu hanya sementara dan bukan disebabkan kesalahan sebenar.
“Apa yang kami lalui itu kecil jika dibandingkan dengan penderitaan rakyat Gaza.
“Kita bukan banduan yang bersalah. Masa saya tandatangan borang immediate departure, saya tulis bahawa saya ditangkap di perairan antarabangsa, yang sebenarnya menyalahi undang-undang antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Luar memaklumkan kesemua sembilan rakyat Malaysia yang menyertai Misi Kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) bersama Thousand Miles to Gaza (TMTG) itu telah selamat tiba kira-kira pukul 4 petang tadi.
Kapal membawa Misi Kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) bersama Thousand Miles to Gaza (TMTG) telah dipintas oleh tentera Israel pada 8 Oktober lalu ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Semenanjung Gaza.
Selepas ditahan, semua peserta dibawa ke Pelabuhan Ashdod untuk pemeriksaan dan soal siasat sebelum dipindahkan ke Penjara Ketziot di Negev, Israel bagi proses tahanan sementara.
Bagaimanapun, selepas beberapa hari berada dalam tahanan, kesemua aktivis Malaysia akhirnya dibebaskan dan berlepas pulang melalui Lapangan Terbang Istanbul pada Jumaat lalu selepas mendapat pelepasan daripada pihak Israel.
Misi kemanusiaan kali ini diketuai oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali bersama lapan lagi aktivis iaitu Dr. Fauziah Mohd. Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman, Dr. Ili Syakira Mohd. Suhaimi, Dr. Mohd. Afandi Salleh, Dr. Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar, serta wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Misi flotilla tersebut disertai kira-kira 150 aktivis dari 25 negara yang membawa bekalan kemanusiaan bagi disalurkan kepada rakyat Palestin di Gaza.










