RAWANG: Penyanyi, Adira Suhaimi, 34, memaklumkan akan memikirkan soal berumah tangga setelah kes pengesahan lafaz rujuk membabitkan dia dan bekas suaminya, Datuk Adnan Abu selesai sepenuhnya.
Menurut Adira, hal demikian bagi membolehkan dia memberi tumpuan perbicaraan kes berkenaan yang masih berjalan di mahkamah.
“Macam mana saya nak kawin? Kes ini pun belum selesai lagi. Mudah untuk dia berkahwin kan? Saya nak kahwin susah.
“Macam mana kita nak rancang, perkara ini tak selesai lagi? Beri masa untuk saya selesaikan dulu, kalau ada, Insya-Allah,” katanya.
Adira berkata demikian ketika ditemui selepas prosiding pengesahan lafaz rujuk di Mahkamah Syariah Gombak Barat, hari ini.
Dalam pada itu, Adira menolak untuk mengulas lebih lanjut berkenaan hubungannya dengan jejaka misteri dan memutuskan untuk berbuat demikian selepas kes lafaz rujuk selesai.
“Tak apa, saya akan cerita semua benda ini selepas hal ehwal mahkamah selesai, Insya-Allah.
“Saya nak fokus untuk selesai dahulu kes rujuk ini. Kemudian baru saya boleh buka semua cerita,” ujarnya.
Terdahulu, hakim Tuan ‘Afif Sofiuddin Syeikh Abd Ghani menetapkan 3 September depan sebagai prosiding sambungan keterangan defendan iaitu Adira berhubung kes lafaz cerai yang difailkan plaintif iaitu Adnan.
Prosiding yang berlangsung selama hampir dua jam bermula 11 pagi itu diadakan secara tertutup dengan kehadiran defendan, manakala plaintif tidak hadir atas urusan peribadi.
Sebelum ini, Adnan melalui permohonan difailkan pada 18 Disember lalu mendakwa berlaku lafaz rujuk pada Mei 2024 dalam tempoh iddah selepas perceraian, namun Adira dilaporkan tidak mengesahkan perkara tersebut.
Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi sebelum ini dilaporkan terkejut dengan tindakan bekas suaminya itu dan menegaskan tidak mengetahui mengenai pengesahan lafaz rujuk berkenaan.
Adira dan Datuk Red mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua sebelum bercerai pada 24 April 2024.
Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7; Asan, 6; Anggun, 5; dan Ayob, 3.










