Seorang pelajar nahas di Solok Duku masih kritikal

Seorang pelajar nahas di Solok Duku masih kritikal

RAHMAD Mariman (kanan) melawat salah seorang pelajar yang mengalami kecederaan di Hospital Melaka hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang daripada tiga pelajar dan seorang guru Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Masjid Tanah yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Solok Duku, petang semalam berada dalam keadaan kritikal dan terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, seorang lagi mangsa yang dirawat di ICU berada dalam keadaan sedar, manakala dua lagi mangsa iaitu seorang guru dan seorang pelajar kini ditempatkan di zon kuning serta dilaporkan stabil.

“Seorang lagi masih ditidurkan kerana keadaannya agak kritikal. Kita semua mendoakan agar mereka diberikan kesembuhan dan dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya selepas melawat semua mangsa di Hospital Melaka, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, pihak sekolah telah mematuhi semua prosedur yang ditetapkan sebelum membawa pelajar menyertai aktiviti di luar kawasan sekolah.

“Semua prosedur telah dipatuhi termasuk mendapatkan kebenaran ibu bapa atau penjaga serta melengkapkan dokumen dan borang berkaitan sebelum pelajar menyertai pertandingan tersebut.

“Apabila berlaku kemalangan, ia adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Saya juga telah bertemu dengan semua keluarga mangsa dan setakat ini mereka tidak membangkitkan sebarang bantahan atau rasa tidak puas hati terhadap pihak sekolah,” ujarnya.

Katanya, ahli keluarga semua mangsa menerima dengan reda apa yang berlaku dan kini memberi sepenuh tumpuan kepada proses rawatan serta pemulihan mangsa.

Katanya, beliau telah meminta pihak Hospital Melaka agar terus memberikan rawatan terbaik kepada semua mangsa sehingga mereka pulih sepenuhnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada setiap mangsa bagi membantu meringankan beban keluarga sepanjang tempoh rawatan.

Katanya, bantuan itu diharap dapat digunakan bagi menampung keperluan harian keluarga selain perbelanjaan yang berkaitan sepanjang mangsa menerima rawatan di hospital.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.24 petang semalam, sebuah Proton Saga yang dinaiki seorang guru bersama tiga pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Masjid Tanah bertembung dengan sebuah lori di Solok Duku ketika dalam perjalanan pulang selepas menyertai pertandingan ping pong di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cheng.

Kemalangan itu mengakibatkan guru berusia 24 tahun serta seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang berada di tempat duduk belakang tersepit di dalam kenderaan.

Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan peralatan menyelamat hidraulik sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk menerima rawatan lanjut.

Dua lagi pelajar pula berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, dengan seorang mengalami patah kaki manakala seorang lagi cedera akibat hentakan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN