OPR kekal pada 2.75 peratus 

OPR kekal pada 2.75 peratus 

BANK Negara Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus, sejajar dengan prospek pertumbuhan ekonomi yang kekal mampan serta inflasi yang terkawal.

BNM berkata, penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan global yang berdaya tahan secara keseluruhan, disokong oleh pengembangan teknologi yang kukuh serta keadaan bekalan dan harga komoditi utama yang bertambah baik. 

“Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan. 

“MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” katanya dalam kenyataan.

Bank pusat berkata, keadaan konflik di Asia Barat yang terus mereda akan menambah baik lagi keadaan rantaian bekalan global pada masa hadapan.

Katanya, risiko pertumbuhan global menjadi rendah terus wujud, berpunca daripada ketidaktentuan yang berterusan berhubung dengan konflik tersebut, keadaan kewangan global yang lebih ketat dan kebimbangan tentang penilaian dalam pasaran kewangan. 

“Potensi pertumbuhan menjadi pesat termasuk pemulihan keadaan rantaian bekalan yang lebih cepat daripada jangkaan, perbelanjaan teknologi yang lebih kukuh dan langkah-langkah dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju,” ujarnya.

Bagi Malaysia, BNM berkata, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan yang berdaya tahan pada suku kedua, didorong oleh permintaan dalam negeri yang mampan dan prestasi eksport yang lebih kukuh daripada jangkaan. 

“Konflik Asia Barat yang masih tidak menentu boleh mempengaruhi prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. 

“Asas-asas Malaysia yang kukuh akan terus menyokong daya tahan ekonomi negara bagi menghadapi kejutan luaran. Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah,” katanya. 

Kali terakhir bank pusat melaraskan OPR adalah pada Julai 2025 apabila kadar diturunkan kepada 2.75 peratus daripada tiga peratus sebagai langkah awal bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dalam menghadapi cabaran luaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN