Layan seperti binatang

Layan seperti binatang

RAKAMAN video dikeluarkan oleh Kementerian Luar Israel pada 1 Oktober lalu, menunjukkan askar rejim bersama aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg (kanan), selepas kapal konvoi Global Sumud Flotilla dipintas. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dilayan seperti binatang termasuk ditendang, dipaksa minum air tandas dan dirampas tudung secara paksa adalah antara tindakan rejim zionis ketika menahan peserta Global Sumud Flotilla (GSF).

Malah, ketua misi kemanusiaan itu, Greta Guthenberg berdepan tindakan lebih kejam apabila diheret, rambutnya ditarik dan dipaksa mencium bendera Israel.

Anggota misi itu, Iylia Balqis Suhaimi, 28, salah seorang daripada 23 suka relawan GSF berkata, tentera Israel juga mengurung mereka dalam sel seperti sangkar di tengah panas terik.

“Ada tahanan wanita memohon ubat tetapi dijawab dengan sinis, ‘selagi dia belum mati, dia okey’. Kami juga terpaksa minum air dari tandas kerana tiada sumber lain,” katanya memetik laporan Al Jazeera.

Tentera Israel, katanya, berasa jelik apabila melihat wanita Islam memakai tudung sehingga bertindak kejam merampas tudung yang dipakai tahanan.

Aktivis wanita itu selamat tiba di Istanbul, Turkiye, pada pukul 3.40 petang (waktu tempatan) Jumaat lalu selepas dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel selepas mereka bersetuju menandatangani surat pelepasan segera.

Semasa misi kemanusiaan itu, beliau menaiki Kapal Alma yang turut disertai oleh delegasi antarabangsa lain.

Sukarelawan GSF, Hazwani Helmi menceritakan, dia melihat sendiri bagaimana tentera Israel memukul Greta dan mereka memasang bendera Israel pada wajahnya.

“Mereka mengikatnya pada troli dan menyeretnya. Mereka memukulnya sesuka hati di mana sahaja mereka mahu,” katanya pada sesi temu bual bersama media tempatan di Lapangan Terbang Istanbul kelmarin.

Salah seorang sukarelawan dari Amerika Syarikat (AS), Windfield Beaver berkata, Greta dilayan sangat teruk berbanding yang lain ketika dalam tahanan.

Tambahnya, Greta dibawa ke bilik tertutup di mana Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir dikatakan turut hadir ke ruang itu.

“Ben-Gvir masuk ke dalam bilik bersama dia (Greta). Kami hanya mampu mendengar jeritan. Ia sangat menakutkan,” kongsinya.

Menurut laporan antarabangsa, Greta, 22, masih ditahan pihak berkuasa Israel, manakala kerajaan Sweden kini sedang berunding bagi membawanya pulang melalui saluran diplomatik dan undang-undang.

Sementara itu, pendakwah bebas, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat berkata, layanan tentera Zionis terhadap sukarelawan GSF teruk dan tidak berperikemanusiaan.

“Layanan mereka sangat-sangat teruk, tidak baik dan kita perlu terus boikot Israel,” katanya yang menaiki kapal Estrella ketika ditahan rejim Israel, Khamis lalu.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan seramai 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF kini menerima pemeriksaan kesihatan dan sokongan psikologi penuh daripada pihak berkuasa Turkiye.

Kumpulan tersebut diterbangkan menggunakan pesawat khas kerajaan Turkiye TK6921 dari Lapangan Terbang Ramon, Israel dan dijangka pulang ke tanah air malam ini atau esok.

Seramai 23 rakyat Malaysia itu merupakan antara 500 aktivis dari 45 negara yang menyertai misi GSF bagi memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza dan menyalurkan bantuan kemanusiaan.

Setakat malam kelmarin, seramai 137 daripada 462 aktivis GSF dibebaskan oleh tentera Israel yang terdiri daripada rakyat Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Mauritania, Switzerland, Tunisia, Jordan dan Malaysia.

Sementara itu, Kedutaan Sweden yang melawat Thunberg di penjara memberitahu aktivis berusia 22 tahun itu ditempatkan di dalam sel dipenuhi pepijat dan tidak diberikan makanan dan air mencukupi hingga mengalami dehidrasi dan ruam pada kulit yang disyaki berpunca daripada gigitan pepijat.

“Thunberg mengadu diperlakukan dengan kasar dan terpaksa duduk lama di atas permukaan keras,” menurut e-mel rasmi dihantar Kementerian Luar Sweden kepada kenalan rapat aktivis itu.

Tahanan lain turut mendakwa Thunberg dipaksa memegang beberapa bendera ketika gambarnya diambil oleh pihak tentera Israel namun identiti bendera berkenaan bagaima­napun tidak dapat dikenal pasti.

Dakwaan turut disokong dua lagi peserta flotila yang dibebaskan pada Sabtu lalu.

“Mereka menyeret Greta Thunberg dengan menarik rambutnya di hadapan kami, memukulnya dan memaksa dia mencium bendera Israel. Ia dilakukan sebagai amaran kepada orang lain,” kata aktivis Turki, Ersin Çelik kepada agensi berita Anadolu.

Seorang lagi peserta Lorenzo D’Agostino berkata, Thunberg dibalut dengan bendera Israel dan dipertontonkan seperti trofi, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai penghinaan terhadap aktivis tersebut.

Thunberg mengetuai GSF dengan lebih 40 kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dalam usaha memecah sekatan Israel yang berkuat kuasa selama 16 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN