PETALING JAYA: Larangan penggunaan rotan di sekolah oleh Kementerian Pendidikan adalah langkah yang berasaskan cara pendidikan Barat dan bukan berpaksikan kepada sistem pendidikan Islam.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, larangan itu perlu dikaji semula supaya penggunaannya dilaksanakan dengan bijaksana dan terkawal selaras dengan keizinan Nabi Muhammad.
Katanya, Rasulullah membenarkan umatnya menggunakan rotan untuk mendidik anak-anak, sama ada di rumah atau di sekolah.
“Apabila pihak Kementerian Pendidikan melarang penggunaan rotan, sistem pendidikan menjadi cacat, malah amat cacat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut Nik Abduh, rasa takut perlu dibentuk dalam diri anak-anak sebagai perisai bagi menghalang mereka melakukan kesalahan dan maksiat.
“Rasa takut adalah perisai dalam diri anak-anak. Rotan adalah antara bahan buatan perisai itu,” katanya.
Nik Abduh turut berkongsi pengalaman peribadi pernah dirotan di rumah dan di sekolah, yang memberi kesan positif dalam pembentukan akhlak dan disiplin diri.
“Saya yakin perotan adalah benar kerana hasilnya adalah benar. Beribrahlah dengan ajaran agama,” katanya.
Menurutnya, penggunaan rotan harus diukur dan dihadkan mengikut lunas serta peraturan yang ditetapkan dengan bijaksana.
“Jangan memandulkan peranan rotan dalam pendidikan anak-anak,” katanya.
Katanya, larangan penggunaan rotan bukan sahaja mencacatkan pendidikan, malah menafikan salah satu kaedah pendidikan yang dibenarkan Islam dan telah diamalkan lebih seribu tahun.
“Tindakan ini dilihat penting memandangkan pelbagai gejala sosial termasuk bunuh, rogol dan buli semakin meningkat di sekolah dan universiti. Kerjasama semua pihak diperlukan bagi menanganinya,” katanya. – UTUSAN










