PARIS: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun maut selepas terjatuh dari sebuah lori ketika meraikan kemenangan Perancis ke atas Maghribi dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia, menurut perkhidmatan kecemasan pada Jumaat.
Sambutan meraikan kemenangan 2-0 itu tercetus di seluruh Perancis, dengan ratusan orang menari di jalan-jalan di Paris dan dipantau ribuan anggota polis yang ditugaskan menjaga keselamatan.
Remaja itu berada di atas sebuah lori di Aulnoye-Aymeries, berhampiran bandar Maubeuge di utara Perancis, apabila dia terjatuh dan digilis oleh kenderaan tersebut sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, menurut perkhidmatan kecemasan.
Pemandu lori itu telah ditahan, manakala seorang lagi remaja yang menyaksikan kejadian tersebut dibawa ke hospital kerana mengalami trauma, kata pihak berkuasa.
Perlawanan itu diadakan di Stadium Boston, Foxborough, Massachusetts, Amerika Syarikat semalam. – AFP/AGENSI










