KOTA BHARU: Lapan individu termasuk tiga beranak dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengurung tiga lelaki di Pasir Puteh, bulan lalu.
Semua tertuduh, Norhazri Muhammad Nor, 45; Hazafee Mohamed, 37; Mohd Hasrun Mohd Yusof, 37; Mohd Fairuz Mahasan, 41; Muhammad Danish Syahmi Norhazri, 22; Muhammad Darwish Syahmi Norhazri, 20; Muhammad Najmuddin Ahmad Zamri, 21; dan Marliziana Mohd Ramli, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid.
Mengikut pertuduhan, tujuh tertuduh pertama didakwa mengurung tiga lelaki berusia antara 23 hingga 30 tahun dengan niat memeras harta di sebuah rumah di Jalan Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh, kira-kira pukul 4 pagi pada 25 September lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 347 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Marliziana pula berdepan pertuduhan bersubahat dengan menyimpan rahsia mengenai kejadian sama di perhentian bas Pasar Peringat, Kota Bharu, kira-kira jam 4 petang hari yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nursyafiqah Mohamad, manakala semua tertuduh diwakili peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap empat tertuduh pertama, manakala tiga lagi ditawarkan jaminan RM5,000 setiap seorang dan Marliziana RM4,000. Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 November ini.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, empat daripada tertuduh sama turut didakwa atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata dan menunjukkan senjata api jenis Revolver .38 di bawah jambatan Gong Kulim, Pasir Puteh pada hari sama.
Tertuduh berkenaan Norhazri, Hazafee, Mohd Hasrun dan Mohd Fairuz turut mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, mereka melakukan rompakan dengan niat bersama dan menunjukkan pistol sehingga mendatangkan ketakutan kepada tiga individu kira-kira jam 4.35 petang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 40 tahun serta enam sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan, manakala semua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 November ini.-UTUSAN










