BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi tumpuan untuk memperkukuh aspek keselamatan pelajar dengan memastikan kesiapsiagaan pasukan perubatan di setiap penganjuran aktiviti sukan sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu dilaksanakan secara berterusan bagi menjamin keselamatan pelajar sepanjang penyertaan mereka dalam kejohanan sukan.
Katanya, sejak awal lagi KPM turut menekankan kepentingan ibu bapa memaklumkan status kesihatan anak masing-masing yang terbabit dalam aktiviti sukan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
“Dari aspek kesihatan, anak-anak ini sebenarnya lebih awal kita telah pun peringatkan dan laporan perubatan itu sebenarnya kita minta daripada ibu bapa untuk memaklumkan kepada kita.
“Jadi, untuk kehadapan ini, tumpuan kita adalah soal keselamatan keseluruhan. Maknanya, ia bergantung kepada yang disebut sebagai jenis sukan itu dan kemudian persiapan sebagai perubatan iaitu menempatkan pasukan perubatan yang pastinya dipersiapkan juga dalam konteks setiap perlawanan.
“Pada masa sama, memperingatkan anak-anak kita dan jurulatih kita tentang keselamatan-keselamatan yang terus kita perlu tambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada KPM akan mewajibkan pemeriksaan kesihatan terhadap pelajar yang ingin mengikuti kejohanan sukan.
Terdahulu, beliau merasmikan Kempen Jelajah Anti Buli 2025 anjuran bersama Wanita Keadilan Pulau Pinang dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Dewan Yayasan Aman di sini, hari ini.
Kelmarin, media melaporkan seorang Pelajar Tingkatan Empat, Allahyarham Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, yang meninggal dunia ketika perlawanan Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan 2025 di Ipoh, Perak.
Laporan bedah siasat ke atas mayat pelajar Sekolah Menengah Sains (SMS) Johor itu mendapati, punca kematian adalah disebabkan pendarahan dalaman otot pinggul.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, dipetik sebagai berkata, berdasarkan maklumat awal diperoleh, mangsa rebah di hadapan khemah sekitar jam 10.30 pagi ketika ingin masuk ke padang bagi sesi separuh masa kedua perlawanan ragbi yang berlangsung antara pasukan SMS Johor dengan SMS Rembau.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan dibuat penolong pegawai perubatan bertugas ketika kejadian mengesyaki mangsa terkena sawan berikutan keadaan badan mangsa menggigil dan keras (kejang).
Katanya, bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dilakukan berikutan denyut nadi mangsa lemah sehingga dibawa ke HRPB tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 11.18 pagi kelmarin. – UTUSAN










