KUALA LUMPUR: Walaupun Langkawi diakui sebagai destinasi pelancongan terkenal seperti Phuket, namun kos yang tinggi menjadi faktor utama menjejaskan daya tarikannya kepada pelancong, terutama dari luar negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil kajian perbandingan mendapati Langkawi lebih bersih dan semula jadi, tetapi harga yang terlalu tinggi memberi kesan langsung terhadap keputusan pelancong untuk berkunjung ke pulau tersebut.
“Jadi yang ini apabila dibuat sebuah kajian tentang perbandingan Langkawi dengan Phuket. Keindahan Langkawi itu mengatasi kena lebih bersih, lebih semula jadi. Tetapi yang jadi masalahnya ialah kos yang tinggi.
“Jadi kita harus teriti kedua-dua perkara ini. Masalah kalau ringgit rendah pun masalah dan ringgit kukuh pun ada juga masalah. Tetapi kalau di antara keduanya saya masih pilih pengukuhan ringgit,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Jimmy Puah meminta Perdana Menteri menjelaskan 200,000 rakyat Malaysia dilaporkan membelanjakan RM50 juta dengan melancong ke negara jiran sedangkan matawang Thailand ketika itu meningkat.
Mengulas mengenai cadangan Malaysia perlu menjadi sebuah negara yang mesra pelancong dengan meletakkan papan tanda pelbagai bahasa, Perdana Menteri berkata, tiada keperluan untuk melaksanakan perkara itu kerana ia bukan faktor utama yang mendorong kehadiran pelancong ke Malaysia.
“Tidak payahlah sebab kalau orang Arab ramai datang, ada masa kita tulis Arab. Tak payah ada papan tanda bahasa Arab.
“Begitu juga bila orang Cina datang, tak perlu kita gunakan papan tanda dalam bahasa Cina terlalu banyak.
“Begitu juga orang India. Orang India banyak bahasa lain-lain. Tamil pun ada, Hindi pun ada, Urdu pun ada. Jadi bagi saya tak perlu. Dia datang tidak semestinya kerana ada papan tanda dalam tulisan bahasa dia” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri turut meminta pihak Kementerian Pelancongan memberi fokus dalam aspek kepelbagaian makanan di Malaysia yang diyakini mampu menjadi faktor tarikan pelancong ke negara ini.
Berkongsi kejayaan Malaysia dalam menarik perhatian pengunjung antarabangsa di Ekspo Osaka, Anwar berkata, gerai makanan Malaysia menjadi antara yang paling mendapat sambutan.
“Saya pun agak terkejut. Ramai pelawat Jepun sanggup beratur panjang untuk makan makanan Malaysia. Bukan percuma, mereka bayar dan dengan kadar harga Jepun, tentunya mahal,” katanya.
Antara menu yang mendapat sambutan ialah roti canai, nasi lemak dan teh tarik dimana jelas Anwar, ia merupakan aset pelancongan yang perlu diberi lebih perhatian oleh kementerian berkenaan.
“Kalau tanya saya orang Pulau Pinang, nasi kandar, jadi ini satu tarikan yang saya rasa boleh dimanfaatkan lagi,” katanya. – UTUSAN










