JOHOR BAHRU: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin antara pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas yang terawal hadir ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 1, di sini.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO itu hadir ke pusat mengundi tersebut pada pukul 8.02 pagi dan telah membuang undi di saluran dua selepas beratur bersama pengundi lain selama kira-kira 30 minit.
Katanya, seramai kira-kira 16 orang ahli keluarga beliau turut mengundi di kawasan DUN Permas.
“Sebahagian besar daripada adik beradik saya memang mengundi di kawasan ini. Secara keseluruhannya antara 16 hingga 18 mengundi di kawasan ini.
“Sudah pasti kalau undi selain daripada Barisan Nasional, saya akan kena tindakan disiplin,” katanya kepada pemberita ketika diminta memberi bayangan calon yang dipilihnya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu, mana-mana pihak yang menjadi kerajaan negeri selepas hari ini perlu sedar terdapat keperluan bagi menyegerakan pembangunan Johor sekaligus memberi kesejahteraan rakyat.
“Hari undi ini kita harap semuanya dapat berjalan dengan baik dan sempurna. Mudah-mudahan setelah selesai segala-galanya, kita dapat menyaksikan satu keputusan yang memungkinkan sebuah kerajaan negeri yang kuat, kukuh dan berkeupayaan dapat diwujudkan hasil daripada pengamatan dan juga keputusan yang dibuat oleh rakyat.
“Saya percaya apa pun keputusan, wajar semua pihak untuk menghormatinya dan memastikan proses demokrasi diamalkan negara ini masih lagi relevan dalam soal kita menentukan kerajaan,” katanya,” katanya.
DUN Permas menyaksikan perlawanan empat penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Baharudin Mohamed Taib; Perikatan Nasional (PN), T. Vela; Pakatan Harapan (PH), Sharon Teo dan Parti Bersama Malaysia (Bersama), Dr. Zamil Najwah.-UTUSAN










