LOS ANGELES: Penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois tampil mempertahankan Senne Lammens selepas kesilapan penjaga gol muda itu menghadiahkan kemenangan 2-1 kepada Sepanyol dalam aksi suku akhir Piala Dunia 2026, awal pagi tadi.
Courtois terpaksa meninggalkan padang pada minit ke-71 akibat masalah otot, sekali gus membuka ruang kepada Lammens, 24, untuk menggantikannya di Stadium Los Angeles.
Namun, penampilan penjaga gol Manchester United itu berakhir dengan penuh kekecewaan apabila dia gagal mengawal rembatan jarak jauh Pau Cubarsi sebelum Mikel Merino pantas menyambar bola muntah untuk meledak gol kemenangan Sepanyol pada minit ke-88.
Courtois mengakui dia amat bersimpati dengan rakan sepasukannya itu dan percaya Lammens memiliki kekuatan mental untuk bangkit daripada detik hitam tersebut.
“Saya memeluknya sejurus tamat perlawanan. Dia seorang penjaga gol yang hebat dan pengalaman seperti ini hanya akan menjadikannya lebih kuat.
“Tidak banyak yang boleh saya katakan atau nasihatkan. Dia seorang yang bermentaliti kuat dan saya yakin dia akan kembali lebih baik. Selepas bercuti, dia akan kembali ke Manchester dan mengharungi musim yang cemerlang,” katanya.
Penjaga gol Real Madrid berusia 34 tahun itu turut mendedahkan dia sebenarnya mahu terus beraksi walaupun mula berasa sakit pada kaki kanan selepas melakukan sepakan jauh pada babak kedua.
“Sudah tentu saya mahu terus bermain, tetapi jurulatih mahukan pemain yang benar-benar cergas. Saya rasa masih mampu beraksi lima atau 10 minit lagi kerana masih boleh melakukan beberapa penyelamatan dengan baik.
“Keputusan itu dibuat jurulatih dan saya menghormatinya. Memang sukar menerima hakikat terpaksa meninggalkan aksi suku akhir Piala Dunia, tetapi ada kalanya kita perlu menerimanya,” katanya.
Sementara itu, pertahanan Belgium, Brandon Mechele turut mempertahankan Lammens dengan menyifatkan kesilapan itu sebagai proses pembelajaran buat penjaga gol muda berkenaan.
“Ia bukan bola yang mudah kerana melantun tepat di hadapannya. Kami sebagai pemain pertahanan juga sepatutnya membantu dengan lebih baik. Dia akan belajar daripada pengalaman ini dan kami sebagai satu pasukan perlu terus memberikan sokongan kepadanya,” katanya.- AGENSI










