TVET dipuji dalam dasar tapi dipinggir secara realiti

TVET dipuji dalam dasar tapi dipinggir secara realiti

PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) moden mesti melahirkan tenaga mahir yang bukan sahaja bekerja tetapi juga berinovasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM wacana pembangunan negara, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sering diangkat sebagai kunci masa depan ekonomi Malaysia.

TVET muncul sebagai laluan strategik setiap kali negara membincangkan mengenai tenaga kerja mahir, pelaburan berteknologi tinggi, semikonduktor, automasi, ekonomi hijau dan kecerdasan buatan (AI).

Namun dalam realiti sosial, masyarakat masih meletakkannya sebagai pilihan kedua selepas universiti.

Kerajaan memperkukuh TVET melalui peruntukan besar, termasuk RM7.9 bilion dalam Belanjawan 2026. Bahkan, data kebolehpasaran graduan TVET juga sangat tinggi, melebihi 95 peratus dalam beberapa bidang termasuk teknologi maklumat.

Angka ini menunjukkan industri sebenarnya menerima tenaga mahir dengan baik. Namun masyarakat masih belum mengubah persepsi.

Masalah utama TVET bukan pada institusi atau kurikulum semata-mata tetapi cara masyarakat menilai kejayaan.

Ramai ibu bapa masih menganggap laluan universiti lebih mulia berbanding laluan kemahiran. Mereka melihat ijazah sebagai simbol status sosial, manakala TVET dianggap pilihan selepas gagal.

Budaya ini lahir daripada konsep modal budaya yang diperkenalkan oleh Pierre Bourdieu. Dalam masyarakat, ijazah universiti membawa nilai simbolik yang tinggi kerana dikaitkan dengan prestij dan mobiliti sosial.

Sebaliknya, TVET masih kekurangan nilai simbolik walaupun nilai ekonominya semakin tinggi. Akibatnya, keluarga lebih cenderung memilih laluan akademik untuk anak mereka walaupun pasaran kerja memerlukan kemahiran teknikal.

Keadaan ini memberi kesan langsung kepada pelajar. Ramai pelajar yang berbakat dalam bidang teknikal, kreatif dalam penyelesaian masalah dan cekap mengendalikan mesin tetap dianggap kurang berjaya hanya kerana mereka tidak berada dalam laluan akademik.

Masyarakat gagal membaca kecerdasan tidak hanya wujud dalam peperiksaan teori tetapi juga dalam kemahiran praktikal dan keupayaan menyelesaikan masalah dunia sebenar.

Lebih membimbangkan, dunia pekerjaan telah berubah jauh ke depan. Laporan Laporan Masa Depan Pekerjaan 2025 oleh Forum Ekonomi Dunia menjangkakan hampir 40 peratus kemahiran pekerjaan akan berubah menjelang 2030. Ini menunjukkan pasaran kerja kini menuntut kemahiran teknikal, digital dan keupayaan menyesuaikan diri secara berterusan.

Namun penyertaan belia dalam TVET masih rendah.

Data Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menunjukkan hanya sekitar 4.3 peratus belia Malaysia mengikuti program TVET, sedangkan lebih separuh kekosongan kerja berada dalam kategori separa mahir. Jurang ini membuktikan ketidaksepadanan antara keperluan ekonomi dan pilihan budaya.

Kesilapan besar masyarakat ialah menganggap TVET sebagai laluan selepas gagal, bukan sebagai laluan strategik.

Selagi stigma ini kekal, maka kempen kerajaan tidak akan cukup untuk mengubah persepsi. Anak muda memilih laluan berdasarkan nilai sosial yang mereka lihat dalam keluarga dan masyarakat, bukan hanya maklumat rasmi.

Perubahan perlu bermula di sekolah. Sistem bimbingan kerjaya perlu menilai bakat pelajar secara menyeluruh, termasuk kecenderungan teknikal dan kreativiti praktikal.

Pelajar cemerlang juga perlu didedahkan kepada TVET sebagai pilihan utama, bukan pilihan kedua.

Media dan industri juga perlu memainkan peranan dengan mengangkat kisah kejayaan graduan TVET.

Masyarakat perlu melihat juruteknik, operator sistem, pakar automasi dan tenaga mahir sebagai profesion berprestij yang menyumbang besar kepada ekonomi negara.

Selain itu, industri perlu menjadi rakan utama TVET. Syarikat perlu terlibat dalam reka bentuk kurikulum, latihan industri dan jaminan pekerjaan. Hubungan jelas antara latihan dan kerjaya akan meningkatkan keyakinan ibu bapa serta pelajar.

Institusi TVET sendiri juga perlu berubah. Bengkel perlu menyerupai industri sebenar, peralatan perlu moden dan kurikulum perlu memasukkan teknologi baharu seperti AI, data dan keselamatan siber.

TVET moden mesti melahirkan tenaga mahir yang bukan sahaja bekerja tetapi juga berinovasi.

Akhirnya, pemartabatan TVET bukan sekadar isu pendidikan tetapi isu budaya. Negara tidak boleh terus membezakan ilmu akademik dan ilmu kemahiran secara hierarki. Kedua-duanya saling melengkapi.

Ilmu akademik membina pemikiran, manakala ilmu teknikal menggerakkan ekonomi sebenar.

Malaysia tidak kekurangan dasar atau peruntukan untuk TVET. Yang masih kurang ialah keberanian budaya untuk mengiktiraf kemahiran juga adalah ilmu sementara tenaga mahir merupakan aset negara.

Selagi TVET hanya dihormati dalam dokumen dasar tetapi tidak dihargai dalam budaya masyarakat, maka negara akan terus berdepan jurang antara keperluan industri dan aspirasi pendidikan. –UTUSAN

NURUL NISHA MOHD. SHAH & MOHD. RADZMAN BASINON
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Rembau & Sixtysix Action Academy

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN