TEHERAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, akan mengadakan lawatan ke Oman hari ini bagi mengadakan rundingan mengenai Selat Hormuz, lapor media rasmi negara itu.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, berkata awatan tersebut akan memberi tumpuan kepada Selat Hormuz dan keselamatan perkapalan serta sambungan kepada rundingan yang dimulakan dengan Oman sejak satu atau dua bulan lalu, lapor IRNA.
Selat Hormuz merupakan antara isu utama yang menjadi pertikaian antara Washington dan Teheran, selepas Iran bertindak menutup laluan strategik itu sebagai tindak balas terhadap perang yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada penghujung Februari.
Konflik tersebut kemudiannya dihentikan melalui perjanjian gencatan senjata pada 8 April, namun insiden keganasan terpencil masih berlaku dari semasa ke semasa, kebanyakannya berpunca daripada pertikaian berkaitan Selat Hormuz.
Teheran menegaskan ia mesti mengawal perairan tersebut, yang menjadi laluan bagi kira-kira 20 peratus daripada perdagangan minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) dunia.
Iran juga menyatakan hasrat untuk mengenakan bayaran ke atas kapal yang melalui selat itu. Sebelum tercetusnya perang, Iran tidak mempunyai kuasa sedemikian.
Walaupun Selat Hormuz merangkumi perairan wilayah Oman dan Iran, undang-undang antarabangsa secara amnya tidak membenarkan kedua-dua negara menghalang laluan kapal atau mengenakan bayaran tol ke atas kapal yang melaluinya.- AFP










