Kerajaan Sabah lega, sambut baik keputusan Mahkamah Tinggi - Utusan Malaysia

Kerajaan Sabah lega, sambut baik keputusan Mahkamah Tinggi

HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Sabah Law Society (SLS) berhubung hak Sabah terhadap geran khas 40 peratus daripada kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu mengesahkan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya di bawah Perkara 112C dan 112D.

“Kami lega dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan semakan semula terhadap geran bagi tahun-tahun yang hilang dalam tempoh 90 hari,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, keputusan itu juga mengiktiraf peranan penting Kerajaan Sabah yang terus mempertahankan dan menegaskan hak perlembagaan negeri.

Beliau menambah, usaha kerajaan negeri dalam memperjelas rekod sejarah, termasuk Share of Growth of Federal Revenue Derived from Sabah dari tahun 1964 hingga 1968, telah memainkan peranan penting dalam menegaskan bahawa niat dan kesan Perkara 112C dan 112D kekal tidak berubah.

“Penerimaan bayaran interim adalah tanpa menjejaskan hak perlembagaan negeri,” katanya.

Sejak awal lagi, Hajiji berkata, dalam setiap mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, kerajaan negeri sentiasa konsisten dan tegas dalam mengemukakan tuntutan negeri.

“Kami telah memperjuangkan isu ini tanpa henti melalui setiap saluran rasmi, setiap mesyuarat MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, dan melalui banyak surat rasmi yang dihantar ke Putrajaya. Tidak sekali pun kami membiarkan perkara ini terhenti.

“Dengan keputusan ini, kami berharap kerajaan Persekutuan akan menunaikan tanggungjawabnya seperti yang telah dipersetujui semasa pembentukan Malaysia,” jelas beliau lagi.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan berunding dengan kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan perintah Mahkamah dalam semangat kerjasama dan saling menghormati serta memastikan hak perlembagaan Sabah direalisasikan sepenuhnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN