PETALING JAYA: Kemenangan MIC menyapu bersih empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 merupakan isyarat mereka kembali diterima rakyat.
Presiden MIC, Tan Sri SA. Vigneswaran berkata, lebih manis apabila parti itu turut mencipta kejutan dengan merampas dua kerusi milik Pakatan Harapan (PH) iaitu Perling dan Bukit Batu.
Beliau berkata, kejayaan itu menunjukkan rakyat memilih gabungan parti yang paling stabil dengan rekod MIC bersama BN yang sudah mencecah usia 80 tahun.
“Kemenangan MIC di kerusi Perling dan Bukit Batu adalah disebabkan faktor rakyat yang mula memberi peluang semula kepada BN.
“Semua perlu faham persaudaraan BN sudah 80 tahun (UMNO, MCA dan MIC). (Kejayaan) ini bukan tentang Vigneswaran. Sebab itu, kita berfikir panjang dalam membuat keputusan (kekal dalam BN).
“Banyak perkara telah berlaku dan saya percaya (MIC) akan berlaku lagi (kemenangan) sebagaimana di Johor,” katanya kepada Utusan Malaysia.
MIC mencatat kemenangan 100 peratus, sekali gus menjadikan parti itu satu-satunya parti yang merekodkan kemenangan sempurna dalam kalangan semua parti yang bertanding pada PRN kali ini.
Empat kerusi yang dimenangi MIC adalah Kemelah, Kahang, Perling dan Bukit Batu, lantas memperkukuhkan kedudukan parti itu dalam BN.
Mengulas kemenangan itu, Vigneswaran berharap pemimpin BN di semua peringkat kekal menjaga imej gabungan itu yang merangkumi kepentingan semua kaum sehingga diterima baik oleh para pengundi.
Katanya, kemenangan itu juga adalah amanah rakyat kepada pemimpin yang perlu dipikul dengan penuh bertanggungjawab.
“BN adalah sebuah gabungan yang menjamin kestabilan semua kaum dan agama. Kita bergerak dengan imej yang mewakili semua bangsa Malaysia,” katanya. – UTUSAN










