Syed Saddiq tiba untuk keputusan rayuan akhir

Syed Saddiq tiba untuk keputusan rayuan akhir

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di pekarangan Istana Kehakiman di sini, kira-kira pukul 8.55 pagi tadi bagi mendengar keputusan rayuan akhir pendakwaan berhubung sabitan terhadap empat pertuduhan membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Beliau yang mengenakan kemeja putih dengan sut hitam sempat tersenyum dan melambai kepada pengamal media sebaik tiba sambil diiringi ahli keluarga serta rakan-rakan.

Turut kelihatan abangnya, Syed Abdullah atau lebih dikenali sebagai ‘Spacedollah’, selain pelakon dan penyanyi, Bella Astillah yang juga tunangnya.

Mahkamah Persekutuan hari ini akan menentukan sama ada Syed Saddiq kekal bebas atau disabitkan semula atas pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Keputusan itu dijadualkan selepas prosiding pada 30 Jun lalu ditangguhkan berikutan seorang daripada tiga hakim mengambil cuti sakit.

Sekiranya rayuan akhir pihak pendakwaan dibenarkan, Syed Saddiq akan menjalani hukuman penjara tujuh tahun.

Selain itu, beliau turut berdepan hukuman penjara tambahan selama empat tahun sekiranya gagal membayar denda RM10 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan membabitkan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais; Hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan terhadap Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu pada pukul 9 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN