WonderBrew sasar keluar kombucha tanpa penyimpanan sejuk tahun ini - Utusan Malaysia

WonderBrew sasar keluar kombucha tanpa penyimpanan sejuk tahun ini

JOSEPH Poh (kiri) bersama Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi WonderBrew, Loke Boon Eng ketika ditemui premis WonderBrew di Bandar Sunway, Selangor, di sini, baru-baru ini. – UTUSAN/ MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar kombucha atau teh yang melalui proses fermentasi tempatan, WonderBrew menyasarkan memperkenalkan produk kombucha baharu yang lebih stabil dan tidak memerlukan penyimpanan pada suhu sejuk pada separuh kedua tahun ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Joseph Poh berkata, pelancaran produk baharu ini sebagai strategi menembusi rangkaian kedai serbaneka dan pasar raya mampu milik di seluruh negara.

Katanya, produk baharu itu dijangka dijual pada harga bawah RM5 sebotol, sekali gus membolehkan syarikat memasuki rangkaian peruncitan yang lebih meluas.

“Produk kombucha syarikat ketika ini dijual pada harga RM12.90 sebotol dan memerlukan penyimpanan sejuk sepanjang rantaian bekalan, sekali gus mengehadkan saluran pengedaran.

“Produk baharu ini mempunyai formulasi yang berbeza. Ia lebih stabil dan tidak memerlukan penyimpanan sejuk yang ketat seperti produk kami sekarang.

“Dengan harga yang lebih mampu milik, kami berharap dapat memasuki lebih banyak rangkaian kedai serbaneka dan pasar raya, sekali gus membolehkan lebih ramai pengguna menikmati kombucha,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di premisnya di Bandar Sunway, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, pembangunan produk tersebut mengambil masa lebih setahun menerusi proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang melibatkan pelbagai ujian bagi memastikan kualiti, rasa dan kestabilan produk.

Sementara itu, beliau berkata, permintaan terhadap minuman berfungsi terus menunjukkan perkembangan positif walaupun pasaran kini lebih mencabar berikutan peningkatan kos operasi.

Katanya, kos bahan mentah, logistik dan operasi meningkat sekitar 10 hingga 15 peratus, namun syarikat masih mengekalkan harga produk premium pada RM12.90 sebotol sejak dilancarkan.

“Kami cuba sedaya upaya mengekalkan harga kerana apabila kami naikkan harga, pelanggan kami seperti restoran, kafe dan peruncit juga akan berdepan kesukaran untuk menyesuaikan harga kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata, kombucha masih berada pada peringkat awal di Malaysia berbanding negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), sekali gus menawarkan potensi pertumbuhan yang besar.

Beliau berkata, WonderBrew mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 40,000 hingga 50,000 botol sebulan, manakala pengeluaran semasa adalah sekitar 30,000 hingga 35,000 botol sebulan.

Jelasnya, produk syarikat kini dipasarkan menerusi pelbagai rangkaian peruncitan termasuk Jaya Grocer, Village Grocer, Ben’s Independent Grocer, Aeon, Cold Storage, MyNews dan beberapa cawangan 7-Eleven di Lembah Klang, selain boleh didapati di Pulau Pinang, Johor, Melaka, Pahang, Perak dan Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN