Kerajaan Sabah bimbang nasib Zizi Kirana, Sul Aidil

Kerajaan Sabah bimbang nasib Zizi Kirana, Sul Aidil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah menyuarakan kebimbangan terhadap nasib dua anak kelahiran negeri itu, penyanyi Zizi Kirana dan aktivis Sul Aidil yang dilaporkan ditahan tentera Israel ketika dalam pelayaran misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, awal pagi tadi.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri prihatin dengan perkembangan itu sambil menyifatkan penglibatan mereka dalam misi tersebut sebagai keberanian yang membanggakan. 

“Kerajaan Negeri yakin Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bersama Menteri Luar Negeri (Datuk Seri Mohamad Hasan) akan mencari dan mengambil langkah diplomatik terbaik dalam membantu pembebasan segera semua sukarelawan yang terlibat.

“Saya menyeru seluruh warga Sabah, tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, dan politik agar bersatu dalam memberikan solidariti terhadap perkara ini,” katanya dalam kenyataan di akaun media sosial miliknya hari ini.

Beliau turut menyeru orang ramai mendoakan keselamatan dan pembebasan sukarelawan yang berjuang atas nama kemanusiaan.

Terdahulu, tentera Israel dilaporkan memintas dan menahan kapal misi (GSF) yang sedang belayar menuju ke Gaza.

Seramai 201 peserta GSF daripada 497 peserta termasuk 12 rakyat Malaysia telah ditahan tentera Israel setakat tengah hari tadi.UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×