SUBANG JAYA: Kerajaan akan memberi tumpuan kepada tindakan lebih tegas terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sudah berkemampuan tetapi masih enggan menunaikan tanggungjawab membayar balik pinjaman.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kumpulan itu dikenal pasti sebagai golongan culas berpendapatan tinggi yang langsung tidak membuat sebarang bayaran sejak bergraduasi.
“Salah satu masalah utama ialah ada kategori peminjam yang sudah bekerja dan berpendapatan tinggi tetapi langsung tidak mahu membayar daripada hari pertama sehingga kini” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-16 di Dorsett Grand Subang di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, langkah memperkukuh kutipan bayaran balik amat penting bagi menjamin kelangsungan dana PTPTN agar lebih ramai pelajar baharu dapat menikmati kemudahan pinjaman pendidikan.
“Langkah penguatkuasaan seperti sekatan perjalanan terhadap peminjam tegar turut membantu meningkatkan jumlah bayaran balik, kerana hasil itu akhirnya digunakan semula untuk membantu generasi pelajar baharu,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, ketika pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan bersetuju mengenakan sekatan perjalanan ke luar negara kepada peminjam PTPTN yang mampu bayar dan bekerja di luar negara tetapi culas membuat bayaran balik.
Inisiatif itu adalah selaras dengan komitmen PTPTN dalam memastikan kelangsungan pendidikan tinggi bagi pembangunan modal insan negara.
Tambah Zambry, kerajaan bagaimanapun tidak akan menganiaya peminjam yang benar-benar tidak mampu, sebaliknya memberi ruang untuk mereka berunding dengan PTPTN bagi menstruktur semula kadar bayaran mengikut kemampuan semasa.
“Kalau mereka berdepan masalah, tolong maklumkan kepada PTPTN tentang pendapatan sebenar, jadi kita boleh susun semula kadar bayaran,” katanya.-UTUSAN










