Kerajaan cadang tambah beberapa Mahkamah Admiralti - Utusan Malaysia

Kerajaan cadang tambah beberapa Mahkamah Admiralti

AZALINA Othman Said (tengah) ketika menyaksikan penyerahan kunci pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Mahkamah Baharu Pengerang di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kerajaan bercadang menambah beberapa lagi Mahkamah Admiralti atau Mahkamah Maritim di Sabah, Sarawak, selatan dan utara Malaysia tanpa perlu membawa semua kes berkaitan maritim ke Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan itu bagi mempercepat proses pendakwaan berikutan ketika ini hanya terdapat satu sahaja Mahkamah Maritim untuk mengendalikan kes-kes berkaitan jenayah maritim.

“Saya dan (Menteri Pengangkutan), Anthony Loke (Siew Fook) telah berbincang mengenai undang-undang maritim. Buat masa ini, hanya ada satu mahkamah laut di Kuala Lumpur.

“Dengan perkembangan perdagangan menggunakan laluan laut, kami bercadang menambah beberapa lagi mahkamah laut antaranya di selatan Johor, Sabah, Sarawak serta utara iaitu Langkawi atau Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Mahkamah Baharu Pengerang di Bandar Penawar, sini hari ini.

Katanya, cadangan tersebut akan dibawa ke Parlimen pada awal tahun depan bagi merealisasikannya.

Menurutnya, kes-kes berkaitan jenayah maritim akan dibawa dalam mahkamah sivil sedia ada di lokasi masing-masing.

“Ini akan memudahkan penyelesaian kes maritim yang semakin meningkat. Undang-undang maritim sudah ada dan langkah tersebut akan memperkukuh lagi sistem mahkamah,” katanya lagi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN