PUTRAJAYA: Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan selepas rejim Zionis Israel memintas konvoi Global Sumud Flotilla (GSF).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, dengan menyekat misi kemanusiaan ini, Israel bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama Israel.
“Malaysia akan mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila warganegara kita terlibat.
“Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan serta kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli.
“Saya menggesa semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa dibebaskan dalam kadar segera,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Menurut Anwar, ini sebuah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza.
Katanya, flotilla tersebut bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia.
“Ia membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terus dipaksa hidup melarat di bawah sekatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.
“Selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin terus dinafikan, Malaysia kekal berdiri teguh dan tidak akan berundur daripada terus mendesak dan menuntut agar kezaliman dan perampasan yang berlarutan sejak sekian lama dihentikan,” katanya.
Sementara itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Malaysia menuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat ke atas semua aktivis, petugas kemanusiaan dan anak kapal yang berada di atas kapal GSF.
Selain membebaskan kapal-kapal ditahan, Israel juga perlu memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dapat dilakukan dengan selamat dan tanpa halangan.
“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan jenayah dan kekerasan yang bersifat pengecut oleh pihak Israel terhadap Global Sumud Flotilla, yang merupakan satu misi kemanusiaan aman yang membawa bantuan ke Gaza.
“Tindakan tanpa provokasi dan sembarangan ini merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang maritim antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.
Malaysia sekali lagi menegaskan GSF merupakan satu inisiatif kemanusiaan yang sah dan aman, yang digerakkan untuk menyampaikan bantuan mendesak ke Gaza.
Katanya, pada saat rakyat Palestin sedang berhadapan dengan genosid, kebuluran, krisis kesihatan yang meruncing dan penderitaan berpanjangan, misi ini bukan sahaja sah di sisi undang-undang antarabangsa malah merupakan kewajipan moral yang mesti dihormati dan dipertahankan oleh masyarakat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini semalam. – UTUSAN










