Kempen Tabung Pahlawan raih kutipan RM 1.095 juta

Kempen Tabung Pahlawan raih kutipan RM 1.095 juta

MOHAMED Khaled Nordin berucap pada Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2025/2026 di Wisma Perwira, Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2025/2026 setakat ini berjaya mengutip sebanyak RM1.095 juta.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kempen itu menjadi lambang keprihatinan rakyat terhadap jasa serta pengorbanan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempertahankan kedaulatan negara.

Menurutnya, sasaran kutipan adalah sebanyak RM3 juta dan setakat ini wang yang dikumpul adalah hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta.

“Kutipan tabung amatlah berguna kerana wang sumbangan berkenaan akan digunakan bagi membantu veteran ATM yang memerlukan bantuan segera apabila bantuan kerajaan tidak dapat disalurkan secara langsung.

“Tabung ini digunakan untuk menampung keperluan mendesak dan menjadi lambang keprihatinan rakyat terhadap jasa perwira negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kempen tahun lalu berjaya mengutip RM2.19 juta melalui pelbagai program termasuk pertandingan golf amal, karnival jualan dan pertandingan memancing yang mendapat sambutan menggalakkan.

“Saya amat berterima kasih dan menghargai Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) serta Yayasan Veteran ATM atas komitmen memperkasa kebajikan dan kesejahteraan warga veteran di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Penaung KTP, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, sumbangan kepada tabung itu tanda rakyat menghargai jasa wira negara yang berjuang tanpa mengenal penat serta sanggup berkorban demi kedaulatan tanah air.

“Kalau kita nikmati keamanan hari ini, berilah sumbangan kepada tabung ini sebagai tanda terima kasih kepada perwira yang berkorban,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×