KUALA LUMPUR: Semua kementerian perlu melaporkan pencapaian inisiatif Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menerusi sistem MyRMK.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, laporan tersebut perlu dihantar menerusi sistem tersebut setiap suku tahun bagi memastikan ia dilaksana dengan lancar.
“Untuk pemantauan projek, kita akan menggunakan sistem sedia ada iaitu MyProjek. Status pelaksanaan projek akan dibentangkan dalam Majlis dan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan peringkat kementerian dan negeri untuk menilai progress projek dan program sedia ada.
“Ini termasuk memberi perhatian projek yang dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi untuk pertimbangan,” katanya menjawab soalan Datuk Anyi Ngau (GPS-Baram) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, kerajaan sedar cabaran besar yang dihadapi penduduk luar bandar dan pedalaman terutama di Sarawak yang masih berdepan kekurangan kemudahan asas dan prasarana mencukupi.
“Jurang pembangunan ini perlu ditangani secara berfokus bagi memastikan rakyat di pedalaman turut menikmati faedah pembangunan negara,” katanya.
Katanya, pelaksanaan projek di bawah RMK13 akan digerakkan berlandaskan tiga teras utama iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai dan memperkukuh tadbir urus, selaras dengan pendekatan Ekonomi Madani.
“Strategi ini akan diterjemahkan melalui projek-projek seperti perluasan jaringan jalan luar bandar, peningkatan akses air bersih, bekalan elektrik, kemudahan pendidikan dan kesihatan serta peluasan liputan digital.
“Kelulusan projek pembangunan akan dibuat berasaskan data dan keperluan sebenar rakyat dengan mengambil kira keutamaan kerajaan negeri supaya pelaksanaannya selaras dengan matlamat pembangunan negara seperti digariskan dalam RMK13,” katanya. – UTUSAN










