Keluarga Dr. Hafiz tidak putus doa mohon keselamatan

Keluarga Dr. Hafiz tidak putus doa mohon keselamatan, kejayaan misi kemanusiaan Gaza

DR. HAFIZ SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Keluarga pakar perubatan, Dr. Hafiz Sulaiman yang kini menyertai gelombang ketiga misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin menyerahkan sepenuh  kepada kekuasaan Allah SWT supaya melindunginya dan seluruh delegasi sepanjang misi berisiko tinggi itu.

Adiknya, Sarah berkata,  ini adalah kali pertama Dr. Hafiz dapat menyertai secara rasmi misi pelayaran kemanusiaan di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) itu selepas percubaan terdahulu pada tahun lalu gagal berikutan sekatan pihak berkuasa Turkiye.

“Tahun lepas dia sudah sertai tetapi terkandas lama di Turkiye kerana kerajaan negara itu tidak membenarkan kapal berlayar ke Gaza.

“Memang minatnya ke arah isu kemanusiaan dan sejarah Islam. Malah, ketika menerima panggilan menyertai misi kali ini, dia sekeluarga baru seminggu berada di Syria untuk belajar bahasa Arab. Dia terus hantar isteri dan anak-anak pulang ke Malaysia dan bertolak ke Itali untuk menyertai misi ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Sarah berkata, seluruh keluarga sangat berbangga dengan semangat perjuangan ditunjukkan Dr. Hafiz dan rakan-rakannya malah tidak putus mendoakan keselamatan serta kejayaan mereka menamatkan pelayaran ke Gaza.

“Harapan kami agar misi Break the Siege ini berjaya, bantuan sampai kepada yang memerlukannya dan semua peserta pulang dalam keadaan selamat. Kami serah semuanya kepada Allah SWT,” katanya.

Misi flotilla kali ini melibatkan 10 buah bot yang berlepas dari Itali pada 27 September lalu, membawa muatan bantuan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan buat rakyat Palestin di Gaza. Gerakan flotilla ini merupakan kesinambungan daripada Global Sumud Flotilla (GSF) yang berlangsung sebelum ini, membabitkan lebih 1,000 sukarelawan dari seluruh dunia dengan matlamat sama iaitu memecah kepungan terhadap Gaza yang berlarutan sejak lebih 15 tahun.

Delegasi Malaysia kali ini terdiri daripada sembilan aktivis termasuk empat doktor perubatan dan seorang wartawan, menjadikan Malaysia antara penyertaan terbesar dalam misi flotilla selepas Turkiye.

Lebih membanggakan, selain Dr Hafiz , dua lagi  peserta flotilla tersebut adalah anak jati Terengganu iaitu Prof. Afandi Salleh dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr. Fauziah Mohd Hassan yang  menaiki kapal Conscience. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN