KOTA BHARU: Kerajaan Neger Kelantan berharap semua projek infrastruktur utama yang diumumkan menerusi Belanjawan 2026 Kerajaan Persekutuan dapat dilaksanakan dengan teratur dan mengikut jadual bagi memastikan manfaatnya dirasai rakyat negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, antara projek yang diberi keutamaan ialah menaik taraf jalan sedia ada kepada jalan berkembar empat lorong di Rantau Panjang serta menaik taraf landasan kereta api Pasir Mas–Rantau Panjang.
Kata beliau, pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi itu diyakini mampu memperkukuh asas pembangunan jangka panjang negeri serta mempercepat pertumbuhan ekonomi tempatan.
“Kerajaan negeri sangat mengalu-alukan peruntukan besar yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 termasuk projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, jalan utama Kubang Kerian–Bachok dan Pasir Mas–Salor, Sistem Saliran Bandar Baru Tunjong, serta projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau Mukim Tiong dan Mukim Jelutong, selain Sistem Bekalan Air Luar Bandar di Pasir Mas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Nassuruddin berkata, beberapa projek lain seperti Loji Rawatan Air Machang dan Program Non-Revenue Water (NRW) turut memberi impak besar kepada kemakmuran rakyat serta kualiti perkhidmatan asas di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri juga berharap lebih banyak projek baharu dalam sektor pertanian dan pelancongan dapat diberi perhatian di bawah fasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) memandangkan kedua-dua sektor itu mempunyai potensi besar untuk menjadi pemacu utama ekonomi Kelantan.
“Projek-projek infrastruktur utama yang menjadi keutamaan rakyat seperti pembinaan Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai serta projek tebatan banjir diharap dapat dilaksanakan dengan lancar sepanjang tahun 2026, termasuk projek yang telah diluluskan tetapi belum dimulakan dalam RMK terdahulu,” ujarnya. – UTUSAN










