Kejadian misteri hanya menimpa peserta pertandingan, bukan pemuzik - Chaan

Kejadian misteri hanya menimpa peserta pertandingan, bukan pemuzik – Chaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah muzik, Mohamad Sharhan Syazwan Mohd Ashri atau Chaan, tidak menafikan pernah menyaksikan  kejadian aneh berlaku sepanjang penglibatannya mengiringi persembahan dalam beberapa pertandingan nyanyian.

Bagaimanapun, katanya, insiden pelik itu hanya menimpa peserta pertandingan dan tidak pernah dialami oleh kru mahupun pemuzik yang terlibat.

“Perkara seperti itu hanya berlaku kepada peserta program. Kru dan pemuzik tidak pernah mengalaminya.

“Saya sendiri pun tidak faham mengapa ia boleh terjadi kerana ia bukan sesuatu yang sihat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Chaan berkata sepanjang bertugas di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi program Big Stage, Gegar Vaganza dan Talk To My Manager (TTMM) beliau tidak pernah mengalami kejadian luar biasa secara peribadi.

“Sepanjang bertugas di MBSA, alhamdulillah saya tidak pernah nampak perkara pelik. Selesai tugasan, saya akan terus pulang. Makan pun saya tidak pernah di situ, malah saya akan ajak pemuzik keluar makan.

“Jadi kami memang tidak pernah nampak apa-apa yang ganjil,” katanya.

Namun begitu, beliau tidak menafikan kejadian misteri yang dialami peserta program sebelum ini.

“Saya tahu kejadian seperti ini bukan hanya berlaku ketika program Talk To My Manager (TTMM), tetapi juga kepada peserta GV sebelum ini.

“Cuma saya tidak mahu komen lebih kerana itu urusan antara mereka dengan Allah. Apa yang pasti, kejadian seperti ini bukan kali pertama berlaku di tempat itu,” jelasnya.

Mengulas mengenai insiden yang menimpa peserta TTMM, Ahmad Dayyan, di pentas akhir baru-baru ini, Chaan yang bertindak sebagai pengarah muzik malam tersebut menegaskan kejadian itu bukan sekadar lakonan.

“Apabila ada yang menuduh Amad berlakon, saya rasa kasihan kerana dia masih kanak-kanak. Sedih melihat sikap segelintir netizen yang gemar menghentam tanpa memikirkan usia. Kalau orang dewasa tidak mengapa, tapi ini budak 13 tahun,” katanya.

Chaan menegaskan, beliau sendiri berada bersama peserta itu dan menyaksikan kejadian yang berlaku di pentas.

“Saya tidak setuju apabila orang kata Amad berlakon. Saya berharap kecaman terhadapnya tidak berpanjangan kerana saya sendiri berada di situ dan nampak apa yang terjadi. Budak-budak tidak mungkin mampu berlakon sampai ke tahap itu,” ujarnya.

Tambahnya lagi, beliau turut menghubungi bapa kepada Ahmad Dayyan selepas kejadian kerana bimbang dengan keadaan anak muda itu.

“Saya bukan ustaz untuk menilai sama ada gangguan itu benar atau tidak, tetapi berdasarkan apa yang saya lihat, Amad memang kelihatan seperti diganggu sesuatu yang kita tidak nampak. Saya hubungi bapanya untuk memaklumkan keadaan dia kerana saya risau.

“Peserta TTMM ini semua saya anggap seperti anak sendiri. Usia mereka pun sebaya anak saya, dan Amad memang rapat dengan saya sejak sebelum konsert lagi.

“Dia sebelum itu okay saja, tetapi ketika hendak naik pentas, dia tiba-tiba menggigil sambil membaca doa, wajahnya kelihatan risau dan seolah-olah menahan sesuatu,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN