KUALA LUMPUR: Kadar kebolehpasaran graduan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) kini mencatatkan lebih 93 peratus walaupun baru sahaja berusia tiga tahun.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihak mahu UPTM mencapai tahap 97 peratus, oleh itu hubungan dan kerjasama strategik dengan industri akan terus diperkukuhkan.
“Ini penting bagi memastikan kebolehpasaran pelajar dan graduan UPTM ini boleh dipertingkatkan. Tahun ini kami mencapai tahap 93 peratus, kalau dalam konteks Mara secara umumnya adalah 97 peratus.
“Kita berhasrat supaya UPTM ini dapat mencapai ke tahap sehingga 97 peratus juga,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Academia–Industry Collaboration (AIC) 3.0 di ibu negara, hari ini.
Beliau yang juga Pro-Canselor universiti berkenaan berkata, kolaborasi dan kerjasama strategik dengan industri itu amat penting supaya program yang diperkenalkan sentiasa kekal dinamik dan relevan dengan keperluan industri.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, penganjuran AIC 3.0 juga adalah bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara dunia akademik dan industri.
Ia juga membuka banyak peluang pekerjaan menerusi pameran kerjaya yang melibatkan 17 syarikat ternama daripada pelbagai sektor industri.
Lebih menarik, majlis itu turut menyaksikan 30 pemeteraian kerjasama stratergik antara UPTM, rakan industri serta universiti antarabangsa sekali gus memperkukuh jaringan global dalam usaha melahirkan graduan yang berdaya saing dan berwawasan. -UTUSAN







