KUALA LUMPUR: Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) catat sejarah baharu apabila berjaya menganjurkan The First Youth Research Presentation on SDG Challenge Program yang terbesar di Malaysia dengan pengiktirafan The Malaysian Book of Records (MBOR) hari ini.
Acara julung kali itu telah menghimpunkan 500 pelajar penyelidik muda dari pelbagai fakulti untuk membentangkan idea penyelidikan mereka secara serentak.
Program ini berjaya mengumpulkan 200 hasil penyelidikan, di mana setiap pelajar mempunyai pembentangan dan kajiannya sendiri melibatkan lebih 500 pelajar secara keseluruhan, termasuk penyertaan secara dalam talian dan fizikal.
Naib Canselor UPTM, Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy Sheikh berkata, kejayaan penyelidikan hari ini membantu dalam memacu usia UPTM untuk meningkatkan penyelidikan dan inovasi dalam pelbagai bidang
Beliau turut menyifatkan pencapaian ini sebagai sesuatu yang amat membanggakan untuk seluruh warga UPTM, bukan sahaja para pelajar.
“Program ini secara khusus memberi penekanan kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu 17 matlamat antarabangsa, yang dilihat membuka peluang besar untuk penyelidikan dan inovasi.
“UPTM ingin memastikan universiti tersebut menyumbang kepakaran dan tenaga dalam menambah baik ke-17 matlamat SDG ini, kerana ia adalah matlamat global yang penting,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program itu di UPTM, di sini hari ini.
Menurut Sharifah Syahirah, acara tersebut juga membuktikan bahawa pelajar UPTM bukan sahaja mampu menghasilkan dapatan penyelidikan yang bermakna, malah mampu membentangkannya dengan penuh profesionalisme, meskipun setiap peserta hanya membentangkan idea penyelidikan selama tiga minit menggunakan satu slaid sahaja.
Mengulas mengenai hala tuju UPTM, beliau berkata, UPTM kini berada pada landasan strategik dalam memperkukuhkan penarafan akademik dan penyelidikan.
“UPTM sedang meluaskan kerjasama antarabangsa sebagai contoh, kami kini mempunyai tiga rakan strategik baharu di Mexico, termasuk universiti yang terbesar di negara itu.
“Penyelidikan perlu dihidupkan dengan perkongsian kerana UPTM tidak boleh bekerja secara bersendirian,” katanya.
Tambah beliau lagi, kerjasama dengan pelbagai pihak akan memastikan banyak perkara yang diusahakan mendapat impak yang maksimum.
Beliau turut menekankan harapan agar dapatan-dapatan kajian yang dibentangkan oleh pelajar ini dapat diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan atau program yang nyata.
“Kejayaan ini dilihat telah mencipta sejarah yang bukan sahaja mengangkat nama UPTM, tetapi turut membawa nama Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN







