Kamera Awas berkesan kurangkan kemalangan di Terowong Menora - Utusan Malaysia

Kamera Awas berkesan kurangkan kemalangan di Terowong Menora

MUHAMMAD Kifli Ma Hassan (kiri) pada sidang akhbar berkaitan pemalsuan plat kenderaan di Stesen Penguatkuasaan JPJ Kalumpang, Hulu Selangor hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Pemasangan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) di Terowong Menora, Perak terbukti berkesan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di lokasi tersebut.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sebelum ini lokasi itu merekodkan jumlah kes kemalangan hampir setiap minggu.

“Selepas pemasangan Awas, kadar kes menurun dengan ketara dan hampir dua bulan tidak mencatatkan sebarang kemalangan, sedangkan sebelum ini boleh dikatakan berlaku hampir setiap minggu.

“Ini membuktikan keberkesanan sistem ini dalam meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Stesen Penguatkuasa Kalumpang di sini hari ini.

Katanya, pemasangan kamera Awas bukan berperanan mengutip saman tetapi mendidik pemandu supaya lebih berhati-hati, khususnya di kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan.

Media melaporkan, kira-kira 3,000 notis saman dikeluarkan setiap hari menerusi Awas melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju di Terowong Menora.

Jumlah saman tersebut diperoleh menerusi dua kamera Awas yang dipasang pada kedua-dua arah di Lebuhraya Utara Selatan.

Notis saman tersebut paling banyak direkodkan pada waktu puncak terutamanya semasa musim perayaan atau cuti persekolahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN