PETALING JAYA: Pihak-pihak yang terbabit diminta mengambil langkah konkrit untuk menjamin keselamatan pelajar susulan beberapa tragedi yang berlaku di kawasan sekolah.
Namun, sebarang usaha untuk mempertingkatkan tahap keselamatan warga sekolah tidak seharusnya bersandarkan penambahan beban kerja guru dengan tugasan pentadbiran dan laporan kerja yang berlebihan.
Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan, Loh Wei Jian berkata, guru seharusnya diberi ruang untuk menumpukan kepada peranan utama mereka, iaitu mendidik, membimbing, dan menjaga kesejahteraan murid, bukannya dibebankan dengan arahan laporan dan aktiviti yang tidak memberi kesan langsung terhadap penyelesaian masalah sebenar di sekolah.
Beliau menyeru agar kesilapan lalu tidak berulang, seperti tindakan mewajibkan laungan “Kami Benci Buli” di sekolah yang akhirnya hanya menjadi slogan kosong tanpa hasil. Masalah sosial dan disiplin pelajar memerlukan tindakan yang konkrit, berasaskan data dan realiti, bukannya sekadar kempen simbolik.
“Susulan beberapa tragedi menyedihkan yang berlaku di sekolah termasuk kes buli, rogol, dan insiden tikam pelajar, rakyat Malaysia mahu melihat langkah diambil dengan kadar segera oleh pihak berkenaan, dan bukannya retorik ataupun penilaian pelaksanaan inisiatif yang hanya membebankan guru dengan “paperwork”, atau perbincangan berulang tanpa kesudahan.
“Antara penambahbaikan yang Loh cadangkan termasuk penempatan kaunselor secukupnya di sekolah, mewujudkan dan menambah pusat psikologi serta kaunseling bagi menawarkan sokongan emosi dan mental kepada guru, penambahan litar CCTV di kawasan sekolah, serta penglibatan aktif ibu bapa dan komuniti bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat dan sejahtera.
” Yang paling penting, rakyat ingin melihat bahawa kerajaan benar-benar bersama dengan rakyat, khususnya warga pelajar dan guru dalam konteks ini, dalam memikul tanggungjawab menjamin keselamatan warga sekolah, dan bukannya mengajukan langkah penyelesaian dari bilik berhawa dingin tanpa memahami realiti di lapangan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, sebarang pembaharuan pendidikan dan usaha mempertingkatkan keselamatan di sekolah mestilah berpaksikan kesejahteraan guru dan pelajar, bukan hanya sekadar berlandaskan laporan (paperwork) guru mahupun slogan yang tidak membawa makna sebenar. – UTUSAN










