Jangan sebar gambar mangsa, suspek tikam

Jangan sebar gambar mangsa, suspek tikam

TEO NIE CHING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Orang ramai diingatkan agar tidak menularkan gambar atau video mangsa dan suspek yang terlibat dalam kejadian tikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya terutama membabitkan kanak-kanak

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penularan gambar yang mengandungi unsur darah, kecederaan atau melibatkan individu bawah umur bukan sahaja tidak sensitif terhadap keluarga mangsa, malah menyalahi undang-undang.

“Seperti yang dinyatakan dalam kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) semalam, semua pihak diminta tidak menyebarkan gambar atau video mangsa dan suspek, terutamanya apabila melibatkan kanak-kanak bawah 18 tahun.

“Saya harap tidak timbul salah faham kononnya kerajaan mahu menutup sesuatu kes. Ini jelas termaktub dalam undang-undang untuk melindungi kanak-kanak dan menjaga maruah keluarga mangsa,” katanya ketika ditemui di Nirvana Center, di sini hari ini.

Menurut Teo, tindakan tidak bertanggungjawab menularkan gambar kejadian boleh menimbulkan trauma kepada keluarga serta memberi kesan negatif kepada masyarakat, khususnya rakan-rakan sebaya mangsa.

“Sebagai manusia dan ibu bapa, kita tentu simpati dan sedih, tetapi pada masa sama kita perlu fikir sama ada tindakan kita itu akan menyakitkan hati keluarga mangsa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kerajaan kini sedang berbincang dengan penyedia platform media sosial bagi memperketat kawalan penggunaan, terutama melibatkan remaja bawah umur.

“Ramai platform ada garis panduan, contohnya tidak membenarkan pengguna bawah 13 tahun. Tapi kalau tiada sistem pengesahan yang kukuh dan hanya bergantung pada pengisytiharan diri, ia tidak berkesan.

“Ini cabaran kepada ibu bapa dan juga kepada platform itu sendiri. Mereka mesti bertanggungjawab memastikan ruang digital tidak disalahgunakan,” katanya.

Beliau turut mendedahkan terdapat aduan mengenai penyebaran maklumat palsu berhubung identiti keluarga suspek dalam kes terkini dan menggesa syarikat seperti Meta bertindak lebih pantas menurunkan kandungan berunsur fitnah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi pada Selasa lalu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut dipercayai ditikam oleh seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN