PETALING JAYA: Nilai integriti perlu dipupuk sejak kecil melalui teladan ibu bapa dan persekitaran keluarga kerana keluarga merupakan ‘tapak semaian’ utama dalam membentuk jati diri serta moral seseorang.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, keluarga juga merupakan asas utama dalam pembentukan integriti dan karakter insan.
“Kesejahteraan mental dalam keluarga adalah kunci kepada lahirnya individu yang stabil, bermoral dan berintegriti serta penting dalam membentuk warga beretika dan berdisiplin,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Integriti dan Psikologi SPRM (KIPS 4.0) Tahun 2025 bertemakan ‘Keluarga Asas Integriti: Psikologi Membentuk Jiwa’ di Auditorium SPRM, Putrajaya, hari ini.
Azam turut menekankan kepentingan keseimbangan antara tanggungjawab kerja dan keluarga bagi mengelakkan tekanan psikologi yang boleh menjejaskan keharmonian emosi.
Katanya, nilai kekeluargaan juga memperkukuh organisasi kerana pemimpin berjiwa kekeluargaan lebih prihatin terhadap kebajikan warga kerja, mudah didekati serta dihormati.
“Warga SPRM agar saling peka terhadap rakan sekerja yang berdepan tekanan dengan memberikan sokongan moral bagi memulihkan semangat dan keyakinan diri.
“Dalam era teknologi terbuka ini, semua pegawai SPRM perlu memiliki ketahanan mental yang kuat untuk menghadapi sebarang kecaman dan fitnah. Kita mesti kekal cekal dan yakin bahawa kita berada di jalan yang benar,” jelasnya.
Konvensyen KIPS 4.0 bertujuan memupuk komitmen tinggi warga SPRM terhadap pembudayaan integriti, kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental, sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni dan positif.
KIPS 4.0 dianjurkan oleh Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme, SPRM bersempena Bulan Kaunseling Kebangsaan, Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Bulan Integriti Nasional.-UTUSAN










