PARIT BUNTAR: Lebih 500 nelayan di Jeti Sungai Betul Bawah dan Jeti Sungai Air Hujan, Tanjung Piandang di sini mendakwa, hasil tangkapan mereka merosot sehingga 50 peratus sejak tujuh tahun lalu, akibat kemusnahan hutan paya bakau di kawasan itu.
Wakil nelayan, Ramli Md. Yusof, 65, berkata, penebangan bakau seluas kira-kira 80 hektar bagi tujuan pembinaan puluhan kolam ternakan udang telah menjejaskan ekosistem semula jadi yang menjadi habitat pelbagai spesies hidupan laut.
Menurutnya, sebelum ini kawasan berhampiran Sungai Betul Bawah terkenal sebagai antara lubuk ketam dan udang, namun selepas pembukaan kolam tersebut, ia semakin pupus dan menjejaskan pendapatan nelayan pantai.
“Dulu kawasan laut berhampiran ini memang lubuk ketam. Sejak hutan bakau ditebang, kehidupan laut makin hilang dan pendapatan kami jatuh hampir separuh,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Jeti Sungai Betul Bawah semalam.
Seorang lagi nelayan, Ahmad Kamil Dahalan, 65, berkata, laut yang suatu ketika dahulu menjadi tumpuan nelayan kini ibarat ‘kawasan mati’ kerana kehilangan hidupan seperti ketam nipah dan siput.
“Dulu satu bubu boleh dapat dua hingga tiga ekor ketam, sekarang sepuluh bubu pun belum tentu dapat seekor. Keadaan ini hanya menguntungkan pengusaha kolam besar manakala kami nelayan kecil terus rugi saban waktu,” katanya.
Ahmad Kamil berkata, jika keadaan itu berterusan tanpa sebarang tindakan pihak berkuasa, bukan sahaja hasil laut akan pupus malah kehidupan komuniti nelayan tradisional di kawasan itu juga bakal menjadi semakin parah.
Sementara itu, Pegawai Luar Bandar Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Zulkifli Yusuf menggesa kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalankan siasatan segera terhadap dakwaan para nelayan.
Menurutnya, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan, selain menuntut supaya sebarang penerokaan baharu dihentikan serta kawasan paya bakau yang musnah dipulihkan semula.
“Hutan paya bakau perlu diwartakan semula sebagai kawasan perlindungan alam semula jadi bagi menjamin kelangsungan sumber laut dan masa depan nelayan yang bergantung kepada laut,” katanya. – UTUSAN










