PETALING JAYA: Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meletakkan jawatan susulan isu hidangan arak dalam majlis rasmi yang dihadiri oleh pegawai kerajaan.
Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki, berkata, tindakan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, malah lebih jelas lagi melanggar polisi, norma dan amalan kerajaan sedia ada yang menghormati Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Menurutnya, dasar kerajaan selama ini menetapkan bahawa sebarang majlis rasmi kerajaan tidak sepatutnya menghidangkan arak, khususnya apabila dihadiri pegawai kerajaan, sebagai tanda menghormati sensitiviti umat Islam dan masyarakat Malaysia secara keseluruhan.
“PPMM mendesak Kementerian Pelancongan dan semua kementerian lain untuk kembali kepada dasar asal yang telah sekian lama dipegang.
“PPMM menyeru agar panduan yang lebih jelas dan menggesa untuk menteri terlibat meletakkan jawatan kerana tidak bertanggungjawab dalam hal ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Muhamad Hisham, kementerian dan menteri yang bertanggungjawab perlu peka dan maklum dengan hal demikian sebagai kedudukan Malaysia sebagai negara Islam yang dihormati di peringkat dunia.
“PPMM berpendirian tindakan ini merosakkan imej negara yang seharusnya
menjadi contoh kepada masyarakat dalam memelihara nilai-nilai murni.
“PPMM percaya kerajaan mendengar dan mengambil langkah efektif dan proaktif demi memastikan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama terus terpelihara di bawah naungan sebuah pentadbiran yang prihatin dan berintegriti,” katanya.
Sebelum ini, tular gambar memaparkan program didakwa Global Travel Meet 2025 Gala Dinner di bawah Tourism Malaysia menyajikan minuman beralkohol.
Namun, King Sing menafikan program dianjurkan oleh Tourism Malaysia sebaliknya menegaskan, pihak industri dan sektor swasta teruja dengan acara global yang julung kali dianjurkan itu sehingga menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam berkenaan.
Tambahnya, acara selama dua hari setengah itu dianjurkan dengan inisiatif pihak industri serta sektor swasta itu berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.-UTUSAN










