PETALING JAYA: Satu siasatan dalaman perlu dijalankan berhubung dakwaan penghidangan minuman beralkohol dalam sebuah majlis makan malam yang dikaitkan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) baru-baru ini.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Nabil Halimi berkata, siasatan dalaman harus dijalankan kerana ia memperlihatkan kelemahan kementerian dalam aspek pengawalan dan pengurusan acara yang melibatkan imej kerajaan di mata rakyat.
“Saya menggesa agar satu siasatan dalaman dijalankan ke atas majlis tersebut bagi menunjukkan komitmen kerajaan menegakkan nilai, adab serta tatakelola baik yang menjadi teras kepada pembinaan Malaysia Madani,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tindakan itu jelas mencerminkan kegagalan memahami sensitiviti budaya, agama dan nilai masyarakat Malaysia yang berteraskan prinsip adab serta hormat.
“Sama ada majlis tersebut dianjurkan pihak swasta mahupun kerajaan, mana-mana acara yang melibatkan kehadiran rasmi menteri atau agensi kerajaan tidak wajar membenarkan penghidangan minuman beralkohol secara terbuka,” ujarnya.
Nabil berkata, sehingga kini tiada permohonan maaf rasmi dikemukakan oleh Menteri Pelancongan sebaliknya kenyataan yang dibuat bersifat defensif dan meletakkan kesalahan kepada pihak lain.
“Ini bukanlah contoh kepimpinan yang bertanggungjawab, apatah lagi daripada seorang menteri yang diberi amanah untuk mewakili kerajaan,” ujarnya.
Sebelum ini, Datuk Seri Tiong King Sing menafikan dakwaan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bahawa minuman alkohol dihidangkan dalam majlis rasmi kerajaan, sebaliknya menjelaskan ia dianjur serta ditanggung sepenuhnya oleh pihak industri dan sektor swasta.-UTUSAN










