KUALA LUMPUR: Dua lelaki ditahan kerana bertindak menhalang tugas polis membuat kawalan keselamatan dalam perhimpunan menyokong Global Sumud Flotila (GSF) di hadapan kedutaan Amerika Syarikat hari ini.
Penahanan kedua-dua lelaki berusia 23 dan 32 tahun itu tular menerusi satu video berdurasi 54 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook iaitu @hamdin66 melalui pautan https://www.facebook.com/share/r/17QYf8NucJ/?mibextid=wwXIfr.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang polis menjalankan tugas.
Katanya, satu perhimpunan aman berlangsung pada pukul 12 tengah hari tadi dengan anggaran kehadiran lebih kurang seramai 50 orang peserta.
Ujarnya, keadaan mulai menjadi tegang apabila terdapat peserta mula menutup aliran trafik di Jalan Tun Razak berhadapan Kedutaan AS.
“Kekecohan yang berlaku telah menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan di bahagian mulut akibat disiku oleh peserta perhimpunan yang terlibat semasa menjaga kawalan keselamatan di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Fadil berkata, kes masih dalam siasatan dan pihak penganjur dan peserta dinasihati untuk mematuhi semua peraturan dan undang-undang sedia ada semasa berhimpun selaras dengan hak-hak kebebasan berhimpun secara aman yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, peruntukkan tersebut hendaklah digunakan secara baik dan berhemah.
“PDRM menghormati kebebasan rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman dan bersedia memberi kerjasama serta sokongan bantuan keselamatan.
“Bagaimanapun, tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kumpulan atau individu yang melanggar undang-undang,” jelasnya.
Fadil memberitahu, maklumat boleh disalurkan ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran.
Mereka membantah penahanan 201 aktivis kemanusiaan dari 36 negara, termasuk 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF oleh Pasukan Pertahanan Israel (IOF) dalam satu insiden tegang di perairan antarabangsa, awal pagi tadi.-UTUSAN










