Guru lebih sesuai jadi warden asrama

Guru lebih sesuai jadi warden asrama

WONG KAH WOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelantikan warden daripada kalangan guru dianggap lebih sesuai bagi sekolah berasrama penuh di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) berbanding menggunakan khidmat pesara tentera atau polis.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, warden di sekolah berasrama penuh bukan sekadar penjaga asrama, sebaliknya memainkan peranan sebagai ‘loco parentis’ atau ibu bapa kedua kepada pelajar dalam membentuk disiplin, sahsiah dan jati diri mereka.

Katanya, peranan penting warden bukan hanya tertumpu kepada pengawasan keselamatan pelajar, tetapi turut berfungsi sebagai pembimbing moral serta pendidik dalam membentuk peribadi murid yang berdisiplin dan berakhlak.

“Kami ingin menegaskan warden di sekolah berasrama penuh bukan sekadar penjaga asrama, tetapi berperanan sebagai ‘loco parentis’ atau ibu bapa kedua kepada murid.

“Mereka bukan sahaja memastikan disiplin, malah membimbing sahsiah dan pembentukan peribadi pelajar,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN–Kuala Pilah) yang ingin tahu sama ada KPM bersedia dari segi kewangan untuk mewujudkan jawatan warden tetap dan khusus di setiap sekolah berasrama memandangkan selama ini tugas berkenaan dipikul oleh guru.

Kah Woh berkata, KPM mengambil maklum cadangan bagi melantik warden sepenuh masa seperti pelaksanaan secara rintis di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang melibatkan anggota polis atau tentera.

Pada masa sama, katanya, KPM turut meningkatkan bilangan warden di sekolah berasrama bagi memperkukuh pemantauan dan pengawasan terhadap pelajar.

“Sebelum ini, sekolah yang mempunyai 50 orang murid asrama hanya diperuntukkan seorang warden. Namun dengan penambahbaikan yang dilaksanakan, bilangan warden kini ditingkatkan kepada tiga orang bagi setiap sekolah yang mempunyai asrama.

“Langkah ini telah meningkatkan jumlah keseluruhan warden asrama daripada 6,055 orang pada 2022 kepada 10,204 orang pada tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 68.5 peratus,” katanya.

Tambah beliau, pelantikan guru sebagai warden turut diyakini dapat meningkatkan kepercayaan serta penerimaan dalam kalangan pelajar dan ibu bapa, selain memastikan bimbingan disiplin dilaksanakan dengan berkesan.

“Selain itu, kelulusan turut diberikan bagi membolehkan anggota kumpulan pelaksana (AKP) dilantik sebagai warden bagi memastikan keperluan mencukupi serta tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan baik.

“Pemeriksaan mengejut (spot check) juga akan terus dijalankan di semua sekolah, sama ada sekolah harian mahupun berasrama penuh, bagi memastikan setiap pihak memainkan peranan sewajarnya dalam menangani isu disiplin dan gejala buli di institusi pendidikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN