Guna sekutu kuat Israel desak bebaskan sukarelawan GSF

Guna sekutu kuat Israel desak bebaskan sukarelawan GSF

MUSTAPHA YAAKUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu menggunakan saluran diplomatik termasuk menerusi sekutu kuat Israel seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Perancis dan Jerman, bagi membebaskan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini ditahan rejim Zionis.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, tekanan antarabangsa ke atas Israel perlu digerakkan secara strategik dengan bantuan kuasa-kuasa besar dunia yang mempunyai pengaruh terhadap Israel. 

“Malaysia mampu menggunakan saluran diplomatik yang ada dengan negara-negara tersebut iaitu AS, UK, Perancis dan Jerman bagi memberi tekanan kepada Israel supaya dengan segera membebaskan sukarelawan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Media terdahulu melaporkan 12 kapal yang menyertai misi kemanusiaan GSF disahkan dipintas tentera Israel di Laut Mediterranean pada kira-kira pukul  2.51 pagi waktu tempatan.

Susulan itu, 11 aktivis dan sukarelawan Malaysia yang menyertai misi bantuan itu disahkan ditahan tentera Israel.

Berikutan situasi itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua aktivis dan sukarelawan Malaysia serta antarabangsa yang ditahan itu dibebaskan segera kerana misi berkenaan adalah usaha kemanusiaan digerakkan orang awam tanpa senjata yang membawa bantuan diperlukan rakyat Gaza.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, pihaknya mendesak kerajaan supaya berusaha  membebaskan mereka secepat mungkin melalui saluran diplomatik dengan negara sekutu kuat Israel.

“Veteran UMNO mengutuk penahanan sukarelawan antarabangsa khususnya dari Malaysia yang menyertai  GSF tersebut. Penahanan mereka  Israel itu satu perbuatan jenayah antarabangsa. Mereka bukan kumpulan bersenjata yang cuba memasuki Gaza untuk membantu Hamas menyerang Israel,” jelasnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN