Gagal memotong, pemuda maut terbabas dalam longkang

Gagal memotong, pemuda maut terbabas dalam longkang

KEADAAN motosikal yang ditunggang mangsa selepas terbabas masuk ke dalam longkang di Jalan Sungai Udang-Tangga Batu di Sungai Udang, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang penghantar makanan maut manakala rakannya cedera selepas motosikal ditunggang terbabas ke dalam longkang dalam kejadian di Jalan Sungai Udang–Tangga Batu di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa berusia 20 tahun meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RSX sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Udang menuju ke Tangga Batu.

“Setibanya di lokasi, terdapat sebuah van jenis Ford Econovan yang dipandu seorang lelaki berusia 66 tahun sedang bergerak di laluan sama. Semasa pemandu memperlahankan kenderaan untuk membelok ke kiri menuju ke Medan Niaga Sungai Udang, mangsa yang datang dari arah belakang dipercayai memotong dari sisi sebelah kiri sebelum terbabas masuk ke dalam longkang.

“Impak kemalangan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi. Pembonceng yang juga rakan serumah mangsa berusia 26 tahun cedera pada kaki kiri dan menerima rawatan di Hospital Melaka sementara pemandu van tidak cedera,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Christopher, siasatan di lokasi mendapati kemalangan berlaku di lorong sehala, garisan putih berkembar dan keadaan jalan kering.

“Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kemera papan pemuka dari kenderaan awam tetapi terdapat saksi bebas ketika kejadian berlaku. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN