Ribuan penduduk dipindah akibat kebakaran hutan di Eropah - Utusan Malaysia

Ribuan penduduk dipindah akibat kebakaran hutan di Eropah

KEBAKARAN hutan di selatan Perancis semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Kebakaran hutan di seluruh selatan Eropah memaksa ribuan penduduk meninggalkan kediaman masing-masing, selain mendorong pihak berkuasa melarang kehadiran penonton pada peringkat perlumbaan Tour de France hari Isnin yang terancam akibat salah satu kebakaran tersebut.

Ratusan anggota bomba sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran yang telah memusnahkan lebih 20,000 hektar tanah, kawasan hampir tiga kali ganda keluasan Pulau Manhattan  di Portugal, Sepanyol, Perancis, Greece dan beberapa negara lain.

Kebakaran itu terus merebak ketika suhu kembali meningkat, dengan suhu di Sepanyol sudah mencecah 43 darjah Celsius, di benua yang masih terkesan akibat gelombang haba pada Mei dan Jun yang dipercayai menyebabkan ribuan kematian.

Para saintis bersetuju bahawa perubahan iklim akibat pembakaran bahan api fosil oleh manusia meningkatkan risiko serta tahap keterukan gelombang haba dan fenomena cuaca ekstrem lain.

Seramai 10,500 penduduk diarahkan berpindah dari kediaman mereka berhampiran Perpignan di barat daya Perancis ketika anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di kawasan Pyrenees yang telah memusnahkan lebih 4,600 hektar, menurut pihak berkuasa.

“Kebakaran itu menghampiri sehingga 300 meter dari rumah-rumah. Kami benar-benar terkejut dengan kepantasan ia merebak. Keadaannya amat mengejutkan sehingga hampir mencetuskan panik,” kata Patrice, 53, seorang penduduk kampung Trevillach yang enggan memberikan nama penuhnya.

“Kami mula nampak asap sekitar pukul 10.30 malam dan ia semakin menghampiri. Seseorang dari pejabat bandar mengetuk pintu rumah kami kira-kira pukul 1 pagi untuk memberitahu kami supaya berpindah,” kata Charlotte Pignol.

“Bau asap itu sangat kuat,” tambah wanita berusia 30 tahun itu.

Pihak berkuasa berkata, peringkat ketiga perlumbaan berbasikal Tour de France yang melalui banjaran Pyrenees pada Isnin akan berlangsung tanpa kehadiran ribuan penonton yang lazimnya memenuhi laluan perlumbaan.

Peringkat sejauh 196 kilometer itu menyaksikan perlumbaan merentasi sempadan dari Sepanyol ke Perancis. Namun, hanya pelumba dan kenderaan pasukan mereka dibenarkan menggunakan laluan tersebut.

Seramai 300 anggota bomba Perancis turut berusaha mengawal satu lagi kebakaran di kawasan pergunungan di jabatan Drome, tenggara negara itu.

Sementara itu, di Greece, kebakaran hutan menyebabkan api memusnahkan dua buah kilang di Thessaloniki, di utara negara itu, sekali gus memaksa pihak berkuasa mengarahkan pemindahan penduduk di kawasan sekitar dan menasihatkan orang ramai supaya menutup tingkap rumah.

Kebakaran turut berlaku di timur laut Sepanyol yang mengancam kawasan pantai pelancongan Costa Brava dan telah memusnahkan lebih 2,200 hektar dalam tempoh dua hari. Ia masih belum berjaya dipadamkan sehingga Isnin.

Peningkatan suhu di Sepanyol turut mencetuskan kebimbangan berlakunya lebih banyak kebakaran. Suhu di Andalusia dan Extremadura mencecah 43 darjah Celsius pada Ahad.

Perkhidmatan kecemasan di Prtugal memaklumkan mereka berjaya mengawal kebakaran hutan yang memusnahkan kira-kira 13,000 hektar kawasan hutan dan belukar di daerah utara negara itu. Bagaimanapun, empat wilayah di Portugal masih berada di bawah amaran gelombang haba pada Isnin.

Kebakaran besar turut memusnahkan ratusan hektar hutan, ladang anggur dan kawasan belukar di Pulau Hvar di Croatia serta di Tale, Albania, menurut pihak berkuasa.

Eropah merekodkan suhu tertinggi dalam sejarah semasa gelombang haba teruk pada Jun yang, menurut kumpulan saintis World Weather Attribution, hampir mustahil berlaku tanpa perubahan iklim.

Selepas tempoh dua minggu suhu tinggi itu, Perancis melaporkan lebih 2,000 kematian tambahan daripada kebiasaan dalam masa hanya seminggu, manakala Sepanyol dan Belgium masing-masing merekodkan lebih 1,000 kematian berlebihan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN