KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan menolak tuntutan bayaran balik berjumlah RM1.43 bilion kepada Kerajaan Negeri Terengganu membabitkan kos pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebelum ini Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bersetuju menggunakan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) untuk menampung sebahagian kos pembinaan lebuh raya itu.
Katanya, mengikut arahan akaun amanah DKKP, dana itu digunakan bagi program, projek dan aktiviti yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri-negeri berkaitan.
Beliau berkata, arahan akaun itu tidak mempunyai peruntukan berhubung pembayaran balik kepada mana-mana kerajaan negeri sekiranya projek yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan atau agensi persekutuan dibiayai melalui akaun amanah DKKP.
“Oleh itu, tuntutan supaya Kerajaan Persekutuan membayar balik RM1.43 bilion kepada Kerajaan Terengganu bagi kos pembinaan LPT2 tidak berbangkit,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Anwar berkata, kerajaan terbuka dengan cadangan Kerajaan Negeri Terengganu bagi program atau projek baharu di negeri itu menggunakan dana DKKP.
Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa, Putrajaya berhutang RM1.43 bilion kepada kerajaan negeri berhubung pembinaan LPT2.
Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendakwa, terdapat kertas Kabinet yang memperincikan persetujuan untuk membayar balik jumlah itu kepada kerajaan negeri. – UTUSAN










