Mahkamah benarkan isteri PM hadiri majlis graduasi anak - Utusan Malaysia

Mahkamah benarkan isteri PM hadiri majlis graduasi anak

BEGONA GOMEZ dan suaminya, Pedro Sanchez. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Sebuah mahkamah di Sepanyol pada Isnin membenarkan isteri Perdana Menteri Pedro Sanchez iaitu Begona Gomez, menghadiri majlis graduasi anak perempuan mereka di London, selepas beliau sebelum ini dilarang meninggalkan negara itu sebagai sebahagian daripada siasatan kes rasuah.

Seorang hakim telah mengarahkan Gomez dibicarakan atas tuduhan menyalahgunakan pengaruh, pecah amanah, rasuah dalam urusan perniagaan dan penyelewengan dana selepas siasatan yang berlangsung selama dua tahun. Kes itu merupakan antara beberapa skandal yang mengancam kerajaan berhaluan kiri pimpinan suaminya.

Hakim Juan Carlos Peinado menganggap Gomez berisiko melarikan diri dan mengarahkan pasportnya dirampas bulan lalu sementara mahkamah lebih tinggi meneliti perintah supaya beliau dibicarakan. Tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan.

Mahkamah di Madrid memutuskan bahawa Gomez dibenarkan secara pengecualian mendapatkan semula pasportnya untuk ke London pada 8 hingga 10 Julai. Namun, ia menolak permohonannya untuk mengiringi Sanchez ke sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Ankara, Turkiye pada Selasa dan Rabu.

Mahkamah turut menyatakan bahawa Gomez dijemput ke sidang itu atas dasar ihsan institusi antarabangsa, tanpa memainkan sebarang peranan aktif  dan beliau dikehendaki menyerahkan semula pasportnya pada 13 Julai.

Siasatan itu tertumpu kepada penubuhan dan pengurusan sebuah kerusi akademik di Universiti Complutense Madrid yang dikendalikan bersama oleh Gomez, selain dakwaan penggunaan sumber awam dan hubungan peribadi bagi memajukan kepentingan pihak tertentu.

Sanchez mempertahankan bahawa isterinya tidak bersalah dan menyifatkan siasatan itu sebagai kempen memburukkan nama oleh pihak kanan bagi melemahkan kerajaan minoriti pimpinannya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN