Malaysia hilang ratusan juta akibat kereta mewah tidak dijual di Langkawi

Malaysia hilang ratusan juta akibat kereta mewah tidak dijual di Langkawi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Malaysia didakwa kerugian sekurang-kurangnya RM400 juta akibat keputusan Kerajaan Persekutuan menarik balik keistimewaan bebas cukai terhadap pembelian kenderaan mewah di pulau pelancongan itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu didedahkan sendiri oleh pihak industri automotif kepadanya susulan langkah diumum kerajaan dalam Belanjawan 2026 bermula 1 Januari lalu.

“Saya sembang dengan Pengerusi Ferrari Malaysia, dia kata jualan kereta high end akhirnya berpindah ke negara lain. Malaysia kehilangan RM400 juta sekurang-kurangnya daripada keputusan kerajaan tak bagi beli kereta bebas cukai di Langkawi.

“Kereta yang boleh beli di Langkawi tanpa cukai kini hanya di bawah RM300,000, atas daripada RM300,000 semua kena cukai. Jadi orang tak mai lah (beli),” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Dana PRU16 Pas Kawasan Sungai Petani, di sini.

Beliau berkata, pembeli dalam segmen berpendapatan tinggi bukan sahaja membeli kenderaan mewah, malah turut menyumbang kepada ekonomi tempatan melalui perbelanjaan di hotel, restoran, pusat beli-belah dan pelbagai sektor perkhidmatan.

Katanya, golongan itu lazimnya menginap di hotel bertaraf lima bintang serta berbelanja dalam jumlah yang besar setiap kali berkunjung ke Langkawi.

“Kita nak bangunkan sektor pelancongan, tarik orang ke tempat kita kena ada tarikan. Orang yang ada berbilion duit dalam bank, sekali-sekala nak bercuti dia mai duduk di Langkawi, belanja duit dia di situ, belilah apa saja. Dia duduk hotel mahal-mahal, makan sedap-sedap beli barang dia balik kemudian tiga bulan lagi mari pula.

“Kita nak orang macam itu. Kita tak mahu backpackers mari duk tepi pantai, tak belanja duit, makan share dengan kera, yang itu tak ada pendapatan untuk kita duduk pacak khemah tepi pantai. Jadi bila keputusan tarik balik beberapa item utama dalam bebas cukai, Langkawi merudum dari segi kemasukan orang dalam kelas itu, rugilah ekonomi kita,” katanya.

Beliau berkata, alasan bahawa kemudahan pembelian kenderaan mewah secara bebas cukai ditarik balik kerana berlaku penyalahgunaan apabila kenderaan dibawa keluar terus dari Langkawi adalah tidak munasabah kerana setiap pemilik perlu melalui prosedur kawalan kastam yang ketat, termasuk melengkapkan dokumen serta wang jaminan.

Sementara itu, beliau melahirkan kebimbangan berhubung dakwaan kemungkinan sebuah kawasan baharu di selatan tanah air bakal dijadikan pusat bebas cukai bagi membawa masuk kenderaan mewah, sekali gus dikhuatiri menjejaskan keistimewaan yang sebelum ini dimiliki Langkawi.

“Saya difahamkan, satu pusat baharu akan dijadikan kawasan bebas cukai untuk bawa masuk kereta mewah di selatan tanah air, ditarik keistimewaan dari Langkawi, bawa ke selatan.

“Saya harap ia tidak berlaku, apa yang menjadi keistimewaan di Langkawi akan hilang jika dipindahkan ke tempat lain termasuk limpahan ekonomi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN