KUALA NERUS: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bekalan makanan asas di seluruh negara mencukupi walaupun berdepan kemungkinan bencana banjir yang dijangka melanda tidak lama lagi.
Pengerusinya, Aminuddin Zulkipli berkata, pihaknya telah bersiap siaga sepenuhnya termasuk dari aspek logistik dan tenaga kerja dengan kerjasama seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memastikan rantaian bekalan hasil pertanian tidak terjejas.
“Kita bersedia dari segi logistik dan tenaga malah telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang berisiko banjir untuk menyediakan lokasi alternatif sekiranya berlaku gangguan.
“Trend banjir sekarang pun tidak menyeluruh. Kalau Pantai Timur terjejas, Pantai Barat boleh tampung dan sebaliknya,” katanya selepas merasmikan Karnival Jualan Agro Madani @ Terengganu 2025 di Perkarangan Kompleks Majlis Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini.
Katanya, pengalaman menguruskan bencana pada tahun-tahun sebelum ini menjadikan FAMA lebih bersedia kali ini dengan pelan tindakan lebih sistematik bagi memastikan kelancaran bekalan di pasaran.
“Kami belajar daripada pengalaman lalu. Tahun ini kita lebih bersedia dan berdoa agar tidak diuji dengan bencana besar. Namun, kalau berlaku juga, insya-Allah FAMA akan cuba yang terbaik,” katanya.
Tambah beliau, ketika ini bekalan sayur-sayuran masih banyak diperoleh dari Cameron Highlands namun sekiranya kawasan pengeluaran utama itu turut terjejas, FAMA akan mencari sumber alternatif bagi menampung permintaan.
“Kalau keadaan sampai tahap kecemasan, kita akan usahakan juga bawa masuk bekalan. FAMA akan berada di lapangan untuk bantu pastikan makanan sampai kepada pengguna,” ujarnya.
Sementara itu, Program Jualan Agro Madani (JAM) anjuran FAMA terus memberi impak besar kepada rakyat apabila berjaya membantu pengguna menikmati penjimatan hampir RM10 juta sejak diperkenal dua tahun lalu.
Aminuddin berkata, sejak pelancarannya pada 2023, sebanyak 1,778 program JAM dilaksanakan di seluruh negara dengan nilai jualan melebihi RM32.8 juta serta penyertaan lebih 24,000 usahawan tempatan.
“Angka ini membuktikan Jualan Agro Madani bukan sekadar program jualan biasa tetapi satu inisiatif yang benar-benar meringankan beban kos sara hidup rakyat,” katanya. – UTUSAN










