KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada melakukan pergerakan tidak perlu di sekitar ibu negara sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 minggu ini bagi membantu kelancaran operasi kawalan keselamatan dan lalu lintas.
Timbalan Pengarah KDNKA (Gerakan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh berkata, orang ramai tidak perlu panik dengan kawalan trafik dan keselamatan di sekitar ibu negara yang dijalankan secara menyeluruh sepanjang persidangan itu.
Katanya, tiada ‘total lockdown’ dilaksanakan, sebaliknya hanya sekatan dan kawalan di kawasan tertentu untuk memastikan keselamatan semua delegasi.
“Hebahan kepada orang awam sudah dibuat oleh pihak trafik dan akan dilaksanakan secara berterusan.
“Saya harap semua pihak beri kerjasama, kurangkan pergerakan tidak perlu, dan jika ada kecemasan seperti isteri hendak bersalin, kita akan bantu pandu,” katanya dalam sidang media pada Taklimat Penugasan PDRM sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Tapak Hangar Bandar Malaysia, Jalan Lapangan Terbang Lama, hari ini.
Fisol turut memaklumkan beberapa langkah tambahan bagi mengurangkan kesesakan termasuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di sekolah sekitar ibu negara, selain sebahagian kakitangan kerajaan diarahkan bekerja dari rumah sepanjang persidangan berlangsung.
“Pihak sekolah sudah diarahkan untuk melaksanakan PDPR dan pejabat kerajaan juga mengambil pendekatan bekerja dari rumah.
“Langkah ini penting supaya tugasan keselamatan kita dapat berjalan lancar tanpa kesesakan teruk,” katanya.
Mengulas mengenai sektor swasta, beliau berkata perkara itu diuruskan oleh kementerian lain, namun menegaskan kerjasama pihak majikan untuk mengurangkan pergerakan ke pejabat amat digalakkan bagi mengelak kesesakan di jalan raya.-UTUSAN