ECRL catat kemajuan 88.08 peratus

ECRL catat kemajuan 88.08 peratus

WAN ROSDY Wan Ismail (dua kanan) menyempurnakan majlis cabutan undi Pakej Kerja Sub-Kontraktor Bumiputera G1 dan G2 bagi Projek ECRL Pahang di ECRL Basecamp Kotasas di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang kini berada di landasan tepat dengan kemajuan keseluruhan sebanyak 88.08 peratus, setakat bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, perkembangan itu selari dengan jadual penyiapan jajaran fasa satu dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor menjelang Disember 2026, sekali gus membolehkan operasi dimulakan pada Januari 2027.

“Jajaran fasa dua antara Gombak dan Pelabuhan Klang pula dijangka siap menjelang Disember 2027 dan mula beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028,” katanya ketika berucap pada majlis cabutan undi Pakej Kerja Sub-Kontraktor Bumiputera G1 dan G2 bagi Projek ECRL Pahang yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di ECRL Basecamp Kotasas, di sini hari ini.

Darwis berkata, jajaran ECRL di Pahang sepanjang 258 kilometer yang merangkumi tujuh stesen sudah mencatat tahap kemajuan sebanyak 90.17 peratus, menjadikannya negeri paling pesat membangun dalam projek berkenaan.

“Pahang memainkan peranan penting kerana jajaran di negeri ini melibatkan pembinaan terowong rel yang panjang serta jumlah stesen paling banyak berbanding Kelantan, Terengganu dan Selangor,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Stesen Cherating dan KotaSAS akan berfungsi sebagai stesen penumpang manakala lima lagi stesen iaitu Kuantan Port City, Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong merupakan stesen gabungan penumpang serta kargo.

“Dengan anggaran masa perjalanan dari Kuantan ke Gombak hanya satu setengah jam berbanding tiga jam melalui jalan raya, ECRL dijangka menjadi pemangkin peralihan kargo dari jalan raya ke rel serta meningkatkan keselesaan penumpang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, dengan kerjasama Pertubuhan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) mencadangkan sejumlah 4,709 syarikat kontraktor bumiputera gred G1 dan G2 bagi tujuan penilaian tender awal.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 448 kontraktor kecil bumiputera disenarai pendek melalui proses saringan yang telus dan berintegriti bagi memastikan peluang penyertaan diagihkan secara adil dan saksama.

“Seterusnya, MRL dan CCC (ECRL) telah memperluas proses penilaian tender dengan mempelawa 348 syarikat kontraktor tempatan untuk mengambil bahagian dalam kerja-kerja berkaitan pembinaan stesen ECRL. Hasil proses penilaian tersebut, sebanyak 86 kontraktor bumiputera gred G1 dan G2 yang berdaftar di Kelantan, Terengganu dan Pahang berjaya dipilih untuk menyertai majlis cabutan undi pakej kerja kontraktor kecil bumiputera, yang merupakan satu lagi pencapaian penting projek mega ini.

“Di Pahang hari ini melibatkan 32 kontraktor kecil bumiputera. Mereka yang berjaya dalam majlis cabutan undi akan berpeluang melaksanakan pakej-pakej kerja kecil seperti pemasangan papan tanda, penyediaan perabot jalan, pemasangan pagar, serta kerja-kerja pengurusan landskap di tujuh stesen ECRL di Pahang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, perbincangan awal bagi membina laluan tambahan bagi projek ECRL di Pahang sudah dimulakan, bagaimanapun, perkara itu masih terlalu awal dan perlu dibawa ke peringkat Persekutuan bagi pertimbangan.

“Berkaitan spur line ada beberapa kawasan telah kerajaan negeri sebutkan dan perbincangan ini perlu diangkat ke peringkat Persekutuan di mana (membabitkan) Kementerian Pengangkutan.

“Di peringkat MRL, kita tunggu mandat daripada kerajaan Persekutuan dalam perkara ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN